Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

(Ulasan) nubia Neo 2 5G – Khas Untuk ‘Gamer’ FPS Dengan Bajet Bawah RM1,000

Posted on Mei 16, 2024Julai 4, 2024

Peranti yang akan dibentangkan kepada anda kali ini merupakan telefon pintar ‘gaming’ daripada nubia di mana ia lengkap dengan satu ciri kelengkapan gaming yang khas untuk permainan FPS (First-Person Shooter).

Saya pada awalnya terkejut akan ciri ini kerana ia tersedia pada telefon gaming berharga bawah satu ribu ringgit.

Tambahan pula, saya yakin dengan adanya ciri ini pada produk telefon gaming yang mampu milik, prestasi permainan seseorang individu itu dapat dipertingkatkan walaupun tidak membelanjakan wang yang berlebihan untuk telefon pintar.

Walau bagaimanapun, saya nasihatkan anda untuk membaca ulasan ini terlebih dahulu sebelum memakan kata-kata manis yang saya tulis sebentar tadi. Hal ini kerana tidak semuanya indah, setiap perkara pasti ada kekurangannya juga.

Spesifikasi

[specs]

Cip: Unisoc T820 2.7GHz

Memori: 8+12GB RAM

Storan: 256GB UFS 3.1

Sistem Operasi: MyOS 13, Android 13

Skrin: 6.72 inci, FHD+, resolusi 2400 x 1080, 120Hz

Kamera: 50MP utama, 2MP ultra lebar, 16MP swafoto

Bateri: 6,000mAh, pengecasan berwayar 33W

Lain-lain: USB-C, dwi-pembesar suara stereo, dwi ‘Shoulder Trigger’, Game Space 2.0

[/specs]

{suggest}

Kelebihan

Sebelum saya menceritakan tentang kekurangan telefon ini, izinkan saya untuk mulakan artikel ini dengan kelebihannya terlebih dahulu yang mana salah satunya adalah kelengkapan skrin yang lebih besar serta penerapan ciri tambahan yang dipanggil Live Island.

Seperti yang anda lihat, ciri ini sama sahaja seperti Dynamic Island daripada peranti iPhone tetapi fungsi yang tersedia tidak terlalu menyeluruh untuk Neo 2 5G ini. Hanya sekadar memaparkan pop-up pemberitahuan status pengecasan peranti sahaja.

Selain itu, kualiti paparan untuk telefon ini berdasarkan pemerhatian dan penggunaan harian saya adalah setakat ‘okay’ sahaja. Alasannya akan saya beritahu nanti.

Dari sudut rekaan pula, anda boleh harapkan kualiti binaan yang kukuh serta tahan lama daripada model ini kerana sewaktu saya bermain permainan mudah alih secara lasak dan kadang-kadang menggunakan sedikit tekanan secara tidak sengaja, keteguhan dan kekukuhannya itu memang tak dinafikan.

Seterusnya, kita beralih ke bahagian dalaman yang mana di sini saya agak bermasam muka sedikit kerana penggunaan cip untuk model Neo 2 5G adalah sama dengan model terdahulu, Neo 5G iaitu Unisoc T820.

Di sini, saya dapat fikirkan dua kemungkinan terhadap tindakan nubia ke atas peranti terbarunya ini.

Pertama sekali, mereka mungkin ingin menjimatkan kos dan kedua, cip ini memang cukup berkuasa untuk model terbaru ini.

Walau bagaimanapun, saya pasti ada di luar sana yang berpendapat bahawa cip Unisoc ini tidaklah terlalu berkuasa untuk menyokong tugasan berkaitan dengan gaming.

Akan tetapi, lain pula untuk Unisoc T820 kerana skor benchmark daripada Geekbench 6 dan 3D Mark Test menunjukkan yang ia mampu mengatasi cip MediaTek Helio G99 pada Infinix Note 40.

Tambahan lagi, saya boleh katakan pada anda yang penggunaan cip ini pada nubia Neo 5G juga memang menampilkan prestasi yang lancar sewaktu saya menggunakannya pada tahun lepas.

Satu lagi perkara yang membezakan Neo 2 5G ini dengan telefon pintar gaming bawah RM1000 yang lain adalah kehadiran ciri ‘Shoulder Trigger’ di sisi badan telefon ini yang mana sangat bagus untuk peningkatan prestasi dalam permainan FPS mudah alih.

Saya berani berkata begitu kerana sewaktu saya bermain Call Of Duty: Mobile, pengalaman menggunakan ciri ini memang sangat membantu ketika menembak, digandingkan pula dengan pengesanan jari yang sangat responsif.

Rasa seperti berada satu peringkat lebih atas daripada pemain permainan FPS mudah alih yang lain.

Tidak terhenti di situ sahaja, saya juga ingin memuji bateri nubia Neo 2 5G ini kerana kapasitinya telah ditingkatkan kepada 6,000mAh lebih tinggi daripada model terdahulu iaitu 4,500mAh sahaja.

Namun, apabila ia digandingkan dengan pengecasan berwayar 33W, catatan masa yang sempat saya ambil untuk sesi pengecasan dari 10 peratus bateri sehinggalah 90 peratus adalah 1 jam lebih.

Lama juga sebenarnya tapi berpatutan dengan kelas harganya.

Tajuk akhir sebelum saya masuk ke bahagian seterusnya, nubia Neo 2 5G ini juga memberikan kepuasan mendengar lagu serta menonton video kepada saya kerana pembesar suaranya telah dipertingkatkan kepada dwi-pembesar suara stereo daripada DTS: X Ultra.

Kekurangan

Di sini, segala kelemahan dan kekurangan pada peranti ‘gaming’ nubia Neo 2 5G ini akan saya nyatakan kerana saya rasa anda patut tahu sebelum ia dikategorikan sebagai telefon gaming mampu milik yang berprestasi.

Salah satunya adalah penggunaan jenis skrin yang masih lagi ketinggalan berbanding pesaingnya iaitu Infinix dan TECNO kerana dua jenama ini telah mula menggunakan skrin jenis AMOLED untuk telefon bawah RM1000.

Manakala, nubia masih lagi menggunakan skrin IPS LCD.

https://wiserspace.sgp1.digitaloceanspaces.com/wp-content/uploads/2024/05/15121702/Untitled-video-13.mp4

Saya bukan berniat untuk berkata buruk tentang produk ini tetapi jika ia dibandingkan secara bersebelahan dengan siri Infinix Note 40 5G, perbezaan kualiti paparan itu memang jelas kelihatan.

Dan jangan lupa, skrin juga memainkan peranan besar dalam prestasi gaming anda.

Tidak cukup dengan skrin, sistem operasinya juga boleh saya kelaskan sebagai sistem operasi yang agak “childish” dan kurang menarik kalau dibandingkan dengan pesaing-pesaingnya walaupun pengalaman penggunaannya terasa lancar sama seperti nubia Neo 5G.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, saya rasa nubia Neo 2 5G ini adalah pengganti yang sesuai untuk model Neo generasi pertama kerana ia nampak ada sedikit peningkatan dari sudut skrin, pembesar suara, kapasiti bateri dan kelajuan pengecasan.

Kalau anda tanya kepada saya, adakah saya akan membeli telefon ini jika saya berada dalam keadaan kecemasan dengan bajet bawah RM1000?

Jawapannya adalah TIDAK kerana tahun 2024 ini telah banyak telefon pintar “gaming” dicipta dengan kelas harga itu seperti TECNO 6 Pro 5G.

Di mana anda boleh dapatkan ia pada harga RM999 juga dengan spesifikasi lebih kurang sama iaitu kapasiti bateri 6,000mAh dengan kelajuan pengecasan 70w, lebih pantas dari Neo 2 5G ini.

Ataupun anda boleh pertimbangkan pilihan kedua ini, Infinix NOTE 40 yang dijual pada harga RM898. Lebih murah tapi lengkap dengan skrin AMOLED, antara muka lebih matang dan pengecasan 45W.

Apa-apapun, semua di atas adalah pandangan dan cadangan daripada saya sahaja sebagai pengguna dan pembeli. Keputusan dan bajet perbelanjaan terletak di tangan anda.

Beli nubia Neo 2 5G di:

Shopee – https://invl.io/cll4zc6

Lazada – https://invol.co/cll4zca

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress