Disebalik pelbagai kontroversi membabitkan konflik perdagangan US – China, Huawei nampaknya terus komited dalam memperkenalkan peranti-peranti baharu kepada peminatnya.
Ia termasuklah siri kelas atasan mereka, Mate 20. Pada kali ini, Huawei telah memperkenalkan empat buah model di bawah siri ini iaitu Mate 20 Pro, Mate 20 X, Mate 20 RS Porsche Design serta peranti yang akan kita ulas, Huawei Mate 20.Secara ringkasnya, Mate 20 ini merupakan peranti yang tidak jauh berbeza dengan Mate 20 Pro namun ia mempunyai beberapa kekurangan berbanding model paling premium berkenaan.
Adakah kekurangan ini terlampau teruk jika ingin dibandingkan dengan Mate 20 Pro? Untuk mengetahui jawapannya, jom ikuti ulasan penuh bagi Huawei Mate 20 ini.
REKAAN LUARAN
Seperti biasa, kita mulakan ulasan ini dengan bercakap mengenai rekaan luaran peranti terlebih dahulu.
Walaupun berada di bawah siri yang sama, sebenarnya agak mudah untuk membezakan di antara model ini dengan Mate 20 Pro. Yang pertama, lihat pada rekaan takuknya.
Takuk pada skrin IPS LCD 6.53-inci telefon ini adalah lebih kecil dan kelihatan seperti titisan air. Huawei menggelar rekaan ini sebagai Dewdrop.
Ia membolehkan peranti ini mempunyai nisbah skrin pada badan peranti yang lebih besar iaitu sekitar 88%, berbanding 86.9% yang dimiliki Mate 20 Pro.
Dua model ini juga dapat dibezakan dengan melihat pada panel belakang peranti. Mate 20 mempunyai sensor imbasan cap jari dibawah kamera tri-lensanya, manakala Mate 20 Pro pula tiada. Ini kerana imbasan cap jari Mate 20 Pro terletak pada dalam skrin.
Satu lagi perkara yang membezakan dua peranti ini dari segi luarannya ialah bicu audio 3.5mm. Mate 20 dilengkapi dengan sokongan berkenaan di sisi sebelah atas tetapi tidak bagi Mate 20 Pro. Sisi bawah peranti ini pula terdapat port pengecasan USB Type-C serta pembesar suara.
Butang kuasa dan kawalan bunyi bagi peranti ini terletak di sebelah kanan peranti, manakala sisi kirinya pula dilengkapi dengan slot kad sim di mana slot SIM 2 juga boleh digunakan untuk Nano-Memory Card.
Huawei Mate 20 ini dibina menggunakan kaca dengan bingkai aluminium dan ia ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Midnight Blue, Twillight dan Black.
Secara keseluruhan, peranti ini sedap untuk dipegang disamping masih mengekalkan imejnya sebagai peranti kelas atasan.
ANTARAMUKA
Akhirnya, dapat juga saya mencuba sebuah peranti dengan sistem EMUI 9 berlandaskan Android 9 Pie. Huawei mendakwa ia membawakan 25% lebih kepantasan berbanding sistem sebelumnya.
Ia juga hadir dengan beberapa fungsi Android Pie seperti Digital Balance. Fungsi ini hampir sama dengan Digital Wellbeing yang dibawakan oleh Google.
Selain itu, ia tidaklah terlalu jauh berbeza dengan sistem EMUI 8 sebelum ini. Animasi aplikasi juga kelihatan hampir sama di mana hanya perubahan minimal sahaja telah dilakukan.
Pengguna juga akan dibenarkan untuk membuat perubahan dari segi paparan dengan menetapkan resolusi paparan dan juga menyahtifkan rekaan takuk pada laman tetapan.
Seperti biasa, Huawei masih mengekalkan beberapa aplikasi pra-pasang seperti HiCare, Huawei Health dan AppGallery.
SPESIFIKASI DALAMAN
Sejujurnya, keupayaan dalaman adalah perkara pertama yang saya uji sejurus menerima peranti ini. Bagaimana? Pastinya dengan bermain permainan video bergrafik tinggi, PUBG Mobile dan Real Racing 3.
Seperti yang dijangka, dengan berbekalkan HiSilicon Kirin 980, kedua-dua permainan tersebut dapat dimainkan pada tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah.
Peranti ini turut menyokong “Performance Mode” dimana ia akan memberikan prestasi yang lebih baik sekiranya diaktifkan. Bagi menguji keberkesanan mod tersebut, saya telah menjalankan ujian penanda aras pada aplikasi AnTuTu Benchmark.
Hasilnya, tanpa mengaktifkan mod prestasi, Huawei Mate 20 mencatatkan skor sebanyak 272,599. Namun, apabila diaktifkan, peranti ini menerima markah 305,313.
Sebenarnya, tidak perlu bagi saya menguji keupayaan peranti ini untuk menjalankan aplikasi lain, melayari laman media sosial dan sebagainya. Namun, atas dasar tanggungjawab, saya uji juga peranti ini. Hasilnya, cukup sempurna tanpa sebarang masalah.
Keseluruhannya, perkakas dalaman pada peranti ini memang berkuasa tinggi.
KAMERA
Kamera tri-lensa pada telefon ini merupakan salah satu perkara yang menjadi tumpuan para peminat. Bukan sahaja mengenai kualiti lensanya, tetapi juga melihat kepada rekaannya.
Berbeza dengan model P20 Pro, tiga lensa kamera Mate 20 ini dipasang bersama satu panel LED flash bagi membentuk rekaan petak pada belakangnya.
Sistem photografi peranti ini disokong oleh lensa utama 12MP f/1.8, lensa ultra-wide 16MP f/2.2 serta 8MP f/2.4 bagi tujuan telefoto. Berikut adalah beberapa hasil gambar yang ditangkap menggunakan peranti ini:
Bagi rakaman swafoto pula, Huawei Mate 20 dilengkapi lensa 24MP dengan bukaan aperture sehingga f/2.0. Imej selfie yang didapatkan juga kelihatan jelas dan tajam.
Bagaimanapun, kualiti gambar yang ditangkap pada waktu malam tidaklah begitu baik. Namun dengan menggunakan mod malam yang hadir dengan bantuan AI, tangkapan gambar akan nampak sedikit lebih cantik.
Rakaman video menggunakan Mate 20 ini juga boleh dikatakan agak baik kerana ia disokong oleh dua penstabil imej iaitu AIS dan OIS. Video gerak perlahan juga dapat dirakam dengan cemerlang walaupun pada 960fps.
BATERI
Huawei Mate 20 ini dijana dengan bateri berkapasiti 4,000mAh yang mampu bertahan 4 hingga 5 jam screen-0n-time(SOT) bagi permaianan, manakala untuk penggunaan normal, SOT yang diperolehi adalah sekitar 9 jam.
Malangnya, peranti ini tidak disokong oleh pengecasan pantas baharu Huawei, SuperCharge 2.0 40W. Akan tetapi, ia masih lagi hadir dengan pengecasan pantas SuperCharge 22.5W. Ia dapat dicas pada tahap :
- 56% dalam masa 30 minit
- 89% dalam masa 60 minit
- 100% dalam tempoh 97 minit
KESELURUHAN
Tidak banyak yang perlu diperkatakan dalam penutup bagi ulasan kali ini. Sekiranya anda mahukan telefon berkuasa tinggi serta tidak kisah mengenai ciri-ciri premium seperti imbasan cap jari dalam skrin dan pengecasan pantas, Huawei Mate 20 ini untuk anda.
Dengan sistem tri-kamera utama yang berkualiti, daya tahan bateri yang baik serta prestasi dalaman yang cemerlang, harga jualan RM2,799 adalah satu harga yang adil dan tidaklah terlalu tinggi.
Tidak salah untuk saya katakan, Huawei Mate 20 ini adalah penanda aras bagi semua model kelas atasan yang bakal diperkenalkan pada tahun hadapan.