Disebalik persaingan komputer riba yang sengit di pasaran tempatan mahupun global, Honor tetap hadir dengan menawarkan barisan komputer riba kepada para pengguna saban tahun.
Sekali gus menghangatkan lagi persaingan sedia ada yang biasanya dipelopori jenama-jenama komputer yang biasa kita dengar seperti Acer, Asus, Lenovo, Apple, HP dan lain-lain.
Jadi untuk tahun 2024 ini, Honor hadir dengan sebuah komputer riba ultra ringan dan nipis yang premium untuk ditawarkan pengguna menerusi HONOR MagicBook Art 14.
Ultra ringan dan nipis
HONOR MagicBook Art 14 adalah sebuah komputer riba ultra ringan dan nipis. Mana tidaknya, dengan saiz 14 inci, ia hany seberat 1kg dan senipis 1cm.
Jadi, alasan berat untuk tidak membawanya ke mana-mana bersama adalah alasan yang tidak logik.
Kemasan premium dan unik
Komputer riba terbaru Honor ini sememangnya dibuat dengan kemas dan baik sekali.
Senang cerita, kualiti buatannya sudah cukup untuk menunjukkan bahawa ia sebuah komputer riba premium yang pastinya menarik mata pembeli di luar sana.
Trackpad besar tak semestinya bagus
HONOR MagicBook Art 14 dilengkapi dengan trackpad yang besar bagi kawalan ke atas kursor. Saiznya yang besar memberikan permukaan yang luas untuk mengawal kursor dengan lebih bebas.
Cuma dari segi kelancarannya, ia agak menjengkelkan kerana acap kali kawalan kursor menjadi tersekat-sekat.
Sebagai contoh, ia tersekat-sekat ketika menatal laman sesawang atas, bawah, kiri dan kanan serta kerap kali berlaku di mana ia secara tidak sengaja membuka pautan seperti kita klik pada pautan itu atau menjadi arahan klik kanan.
Begitu juga rekaan trackpad sehingga ke hujung tanpa ada sempadan menyebabkan kerap kali klik dibuat secara tidak sengaja oleh tapak tangan.
Bateri hampir 10 jam
Bateri HONOR MagicBook Art 14 boleh dikatakan sebagai tahan lama di mana ia mampu memberikan sehingga hampir 10 jam operasi dengan sekali cas penuh.
Tetapi bagi sebuah peranti moden dan premium, prestasi baterinya boleh boleh dikata sebagai prestasi sederhana kerana pengguna pasti mahukan komputer riba dengan keupayaan bateri yang lebih tahan lama.
Skrin OLED sentuh
Menariknya lagi HONOR MagicBook Art 14 ini adalah ia dilengkapi skrin 3.1K OLED sentuh yang bersaiz 14.6 inci.
Malah dengan rekaan bingkai yang nipis, ia menjadikan sudut visual yang cukup luas tanpa anda sedari sedari saiz skrinnya itu.
Ciri skrin sentuh pula sangat lancar tanpa lag sedikit pun. Malah menatal laman sesawang dengan menyentuh skrin komputer riba ini lebih menyeronokkan berbanding menggunakan trackpadnya.
Intel Core Ultra
Untuk aspek prestasi pula, ia bukanlah calang-calang kerana ia dipacu oleh pemproses Intel(R) Core(TM) Ultra 5 125H yang cukup berkuasa untuk menyampaikan prestasi yang dimahukan.
Malah kuasa pemprosesannya yang disepadukan dengan Intel® Arc™ graphic terbina dengan keupayaan AI menyokong penjanaan teks ke imej dan penyuntingan video yang dipercepatkan AI.
Kesimpulan
HONOR MagicBook Art 14 adalah sebuah komputer riba ultra ringan dan nipis yang premium.
Prestasi dari pemproses Intel secara keseluruhan juga tidak mengecewakan walaupun ia tidak dibina untuk tugas GPU intensif.
Paparan OLED 14.6 inci dengan ciri sentuh yang sejelas kristal serta storan terbina 1TB antara spesifikasi utama yang menjadi tarikan utama.
Tetapi beberapa isu seperti isu panas dan keupayaan bateri yangsederhana sahaja mungkin menyebabkan pengguna akan kembali berfikir, adakah ia sebuah peranti yang dimahukan mereka.
Memandangkan kini pengeluar juga sudah mula beralih kepada cip ARM seperti Snapdragon yang jauh lebih jimat tenaga untuk komputer riba.
HONOR MagicBook Art 14 sudah pun berada di pasaran yang berharga RM5,999.
Beli HONOR MagicBook Art 14 dari stor rasmi di:
- Shopee – https://invl.io/cllq21e
- Lazada – https://invol.co/cllq216