Ubisoft baru-baru ini mengemas kini End User License Agreement (EULA) mereka, dan antara perkara paling kontroversi ialah peraturan baharu yang menyatakan pengguna mesti menyahpasang dan memusnahkan semua salinan permainan apabila ia dihentikan atau dikeluarkan daripada pasaran (delisted).
Perubahan ini mencetuskan perdebatan hangat dalam komuniti permainan, terutama selepas gerakan Stop Killing Games mula mendapat perhatian. Gerakan ini menyuarakan kebimbangan tentang pemilikan permainan digital dan usaha untuk menghalang penerbit daripada menarik balik akses ke permainan yang telah dibeli oleh pengguna.
Apa maksud kemas kini ini?
Secara asasnya, Ubisoft mengingatkan pemain bahawa mereka tidak benar-benar memiliki permainan, sebaliknya hanya diberi lesen yang boleh dibatalkan bila-bila masa. Ini selari dengan kandungan asal EULA mereka, di mana:
- Lesen adalah terhad, tidak eksklusif, dan boleh dibatalkan
- Kandungan digital seperti DLC, mata wang dalam permainan, atau akses dalam talian juga bukan milik mutlak pengguna
- Ubisoft berhak menamatkan perkhidmatan permainan atau pelayan bila-bila masa tanpa pampasan
- Jika pelanggaran berlaku, akses akaun dan permainan boleh dibatalkan sepenuhnya
Penamatan tanpa sebab
Kemas kini ini juga menegaskan bahawa Ubisoft atau pemberi lesen boleh menamatkan perjanjian pada bila-bila masa, atas sebarang sebab. Ini menimbulkan kebimbangan tentang potensi penyalahgunaan kuasa, di mana pengguna boleh hilang akses kepada permainan walaupun tidak melanggar mana-mana peraturan.
Malah, pengguna juga perlu nyahpasang permainan yang sudah dibeli apabila Ubisoft berhenti menawarkan dan/atau menamatkan sokongan terhadap permainan.
Kesimpulan
Pengumuman ini berlaku tidak lama selepas Ubisoft mengumumkan penamatan permainan seperti The Crew, di mana pengguna hilang akses walaupun telah membayar. Ini menyebabkan ramai mempersoalkan hak pemilik permainan digital dan apakah wajar pengguna diwajibkan memadam sesuatu yang telah dibeli.
Kemas kini EULA Ubisoft menyerlahkan realiti pemilikan digital bahawa membeli permainan tidak bermakna anda memilikinya selama-lamanya.
Perkara ini mengingatkan saya pada tahun lalu di mana Steam mengatakan pengguna hanya beli lesen dan bukannya ‘game’.
Dengan kuasa mutlak di tangan penerbit, pengguna semakin sedar bahawa hak mereka terhadap kandungan digital boleh ditarik balik tanpa perlu persetujuan anda.
Jika anda pemain tegar atau pembeli kandungan digital, langkah terbaik ialah membaca EULA dengan teliti dan memahami bahawa banyak “pembelian” digital sebenarnya hanyalah lesen sewaan jangka panjang.