Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
NVIDIA

Uber & Nvidia Bakal Lancar 100,000 Teksi Robot Menjelang 2027

Diterbitkan Oktober 29, 2025 oleh Amsyar Latif

Uber dan Nvidia pada Selasa mengumumkan kerjasama besar untuk melancarkan 100,000 teksi pandu sendiri (robotaxi) yang dijadualkan beroperasi seawal tahun 2027.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, kerjasama ini akan membina asas kepada industri mobiliti autonomi di seluruh dunia.

“Bersama Uber, kami sedang membangunkan rangka kerja bagi membolehkan armada kenderaan autonomi dilancarkan pada skala besar — semuanya digerakkan oleh kuasa AI Nvidia,” kata Huang dalam satu kenyataan rasmi.

Nvidia turut bekerjasama dengan beberapa pengeluar kereta utama seperti Stellantis, Lucid, dan Mercedes-Benz bagi mempercepat peralihan daripada kenderaan dipandu manusia kepada kenderaan autonomi sepenuhnya.

Huang menyifatkan teksi robot sebagai permulaan kepada transformasi besar dalam dunia pengangkutan.

“Apa yang dulu hanya bayangan dalam filem sains fiksyen, kini semakin hampir menjadi realiti harian. Teknologi ini menjanjikan perjalanan yang lebih selamat, bersih, dan efisien,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Uber, Dara Khosrowshahi, pula menegaskan bahawa Nvidia kini menjadi tulang belakang kepada era AI moden.

“Nvidia memacu inovasi AI yang akan membawa kenderaan autonomi Tahap 4 (Level-4) ke pasaran global pada skala besar,” katanya.

Kenderaan autonomi Tahap 4 mampu memandu sepenuhnya tanpa campur tangan manusia dalam kebanyakan situasi. Namun, masih belum jelas sama ada Uber akan menempatkan pemandu keselamatan di kawasan tertentu, terutama di lokasi yang tidak mewajibkan kehadiran manusia dalam kenderaan.

Setakat ini, tiada butiran lanjut didedahkan mengenai siapa pengeluar sebenar bagi teksi robot tersebut atau bila ia akan mula beroperasi sepenuhnya.

Penganalisis industri automotif, Marc Amblard dari Orsay Consulting, berpendapat bahawa Uber merupakan platform paling sesuai untuk melancarkan robotaxi dalam jumlah besar.

“Ride-hailing seperti Uber memang saluran ideal untuk skala besar. Dan Nvidia ialah rakan teknologi semula jadi bagi bahagian pengkomputeran,” katanya kepada AFP.

Menariknya, Uber kini sudah pun membenarkan pengguna di beberapa bandar di Amerika Syarikat menempah teksi robot yang dikendalikan oleh Waymo, anak syarikat di bawah Google.

Menurut Amblard lagi, Uber mungkin turut bekerjasama dengan Waymo atau syarikat teknologi automotif dari China untuk memperkukuh pembangunan sistem pandu sendiri mereka.

Waymo baru-baru ini turut mengumumkan rancangan untuk melancarkan perkhidmatan teksi robot di London pada tahun depan, menandakan kemasukan pertama mereka ke pasaran Eropah selepas kejayaan di beberapa bandar di AS.

Sementara itu, Baidu, gergasi internet dari China, telah mengumumkan rancangan serupa untuk melancarkan robotaxi di platform Lyft di Jerman dan Britain menjelang 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Baidu juga dilaporkan mempunyai kerjasama dengan Uber di Asia dan Timur Tengah, sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk menjadi pemain utama dalam arena kenderaan autonomi global.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat teknologi dan pengeluar automotif China telah melabur berbilion dolar dalam teknologi pemanduan pintar yang mana menjadikan bidang pemanduan autonomi sebagai medan persaingan baharu dalam pasaran automotif mereka yang sangat kompetitif. – AFP

Berkaitan

  • Servis Teksi Robot Elon Musk Mula Ditawarkan Di AS
  • Roboteksi Baidu Masuk Pasaran Antarabangsa Melalui Uber
  • Kami Dah Putus Asa “Dera” vivo V60 Lite 5G Ni

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Harga MacBook Neo Di Apple Education Store Naik Lagi - Kini Bermula RM2,799
  • Maxis, U Mobile Dilaporkan Pertimbang Semula Rancangan Penggabungan
  • Google Mudahkan Pemasangan Aplikasi Dari Kedai Pihak Ketiga Di Android, Malaysia Antara Negara Terawal Mulai 1 Disember
  • Syarikat Teknologi Pengiklanan Israel Didakwa Intip Pengguna Starlink
  • Pemilik Dakwa ChatGPT Bantu Temui Semula Fon Telinga Yang Hilang Sepantas 5 Minit
  • ASUS Terus Kuasai Pasaran Monitor OLED Global - Omdia
  • Kastam Gagalkan Cubaan Seludup Cip AI Bernilai RM49.5 Juta Di KLIA
  • 18 Tahun Xperia: Model Pertamanya Guna Windows Mobile, Bukan Android
©2026 WISER.MY