U Mobile Jalin Kerjasama Dengan TIME DotCom Untuk Laksana Ujian 5G

Syarikat rangkaian tempatan U Mobile dan TIME telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Khamis yang lalu.

Merupakan sebahagian daripada strategi U Mobile bergerak ke arah rangkaian 5G, kolaborasi antara kedua-dua pengendali ini bakal memanfaatkan kelajuan tinggi serta kependaman rendah dari TIME sebagai penyelesaian kepada ujian 5G U Mobile.

Menurut CEO U Mobile, Wong Heang Tuck, syarikatnya komited dalam membawakan teknologi 5G kepada rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, mereka akan mengadakan ujian 5G dalam pelbagai lapangan termasuk dari pendidikan hinggalah kepada permainan. Ini adalah untuk memastikan segala pembangunan teknologi 5G dapat digunakan sepenuhnya menjelang penawaran secara komersial pada masa hadapan.

Tambahnya lagi, TIME merupakan pengendali rangkaian pertama di Malaysia dan kedua didunia yang menerima pensijilan Metro Ethernet Forum (MEF 3.0).

“ Oleh itu, kami percaya TIME berada dikedudukan terbaik untuk menyediakan penyelesaian backhaul mudah alih yang sesuai untuk ujian langsung 5G kami." ujar Heang Tuck lagi. Majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) itu turut dihadiri oleh Tan Hoon San (CCO UMobile), Lee Guan Hong (Pengarah Eksekutif TIME DotCom) dan Ang Thing Jiun, (CTO TIME dotCom).