Twitter Dilaporkan Sedang Menguji Fungsi 'Stories' Dinamakan Fleet

Instagram Stories merupakan antara format popular perkongsian kandungan yang digunakan oleh pengguna internet. Fungsi yang sama turut terdapat dalam Facebook dan juga WhatsApp. Untuk Twitter, ia tidak mempunyai fungsi tersebut sehinggalah hari ini.

Mengikuti laporan The Verge, Twitter sedang menguji fungsi seakan Stories yang dipanggil 'fleets' di negara Brazil. Sama seperti Stories, ia merupakan kiriman yang muncul pada garis masa di bahagian atas dalam tempoh 24 jam sebelum hilang.



Menurut Kayvon Beykpour, fleets merupakan alternatif berkongsikan kandungan terutamanya untuk pengguna yang 'segan' dan tidak selesa kerana kicauan boleh dilihat secara awam. Fitrah kicauan yang bersifat kekal serta mempunyai ukur aras 'retweet' dan 'likes' juga menimbulkan rasa kurang enak untuk sesetengah pengguna.

Untuk mencipta fleet, pengguna perlu menekan butang '+' yang akan muncul pada bahagian atas halaman utama Twitter. Kandungan yang boleh dikongsi mempunyai had 280 karakter teks. Pengguna juga boleh berkongsi gambar, GIF, ataupun video.



Fleet tidak boleh di 'like' atau 'retweet'. Namun, pengguna masih boleh memberi respon kepada fleet rakan-rakan seperti emoji atau teks DM.

Buat masa ini, fleet sedang diuji dalam kalangan pekerja Twitter selain di negara Brazil. Masih tiada lagi maklumat mengenai pengenalan fungsi ini secara rasmi untuk pengguna awam.

Sumber: The Verge