Memilih TV baharu hari ini bukan lagi semudah dulu yang hanya melihat pada saiz dan jenama sahaja.
Kemunculan teknologi skrin yang semakin canggih menjadikan pengguna kurang memahami apa yang mereka mahukan dan yang terbaik untuk mereka.
Sudah tentunya istilah yang banyak digunakan dalam pemasaran oleh pelbagai jenama televisyen (TV) sedikit sebanyak mengelirukan pengguna.
Untuk kali ini, bersama kita bincangkan 2 teknologi paparan yang kerap didengar iaitu OLED dan QLED.
Jadi, apa sebenarnya beza antara kedua-duanya, dan yang mana satukah lebih berbaloi untuk rumah anda?
Apa Itu OLED?
OLED bermaksud Organic Light Emitting Diode. Setiap piksel dalam paparan OLED mengeluarkan cahaya sendiri.
Ini bermakna ia tidak memerlukan backlight seperti TV tradisional. Bila piksel dipadamkan, ia benar-benar hitam — menjadikan kontras dan warna jauh lebih hidup.
OLED bukanlah teknologi baharu di mana ia mula diperkenalkan seawal tahun 1987 apabila ahli kimia bernama Ching Wan Tang dan Steven Van Slyke dari Eastman Kodak membangunkannya untuk kamera digital Kodak.

Walau bagaimanapun, hanya selepas memasuki alaf baharu, barulah syarikat elektronik mula menyedari potensi sebenar teknologi OLED untuk TV.
Sony, misalnya, hanya melancarkan TV OLED pertama mereka pada tahun 2004, diikuti oleh Toshiba, Samsung dan Panasonic yang turut bereksperimen dengan panel OLED selepas melihat potensinya.
Antara kelebihan utama panel TV OLED adalah seperti berikut:
- kerana setiap piksel boleh dimatikan secara individu, paparan OLED menghasilkan warna hitam sebenar dan kontras tinggi yang mana ia memberi kelebihan untuk tontonan filem dalam suasana gelap;
- TV boleh dihasilkan dalam reka bentuk yang nipis kerana tiada backlight;
- warna juga kekal cantik walaupun anda duduk dari sisi TV;
- TV OLED memberikan tindak balas piksel yang sangat pantas.di mana setiap gerakan dalam permainan kelihatan lebih lancar dan tepat, tanpa bayang-bayang tertinggal atau kesan kabur, terutama semasa aksi pantas seperti dalam game tembak-menembak atau perlumbaan. Ini memberikan pengalaman permainan yang lebih responsif dan imersif.
- lebih jimat kerana penggunaan tenaga rendah;

Namun, disebalik kelebihannya, OLED juga mempunyai kekurangan seperti:
- harga TV OLED adalah lebih mahal;
- isu burn-in dan image retention di mana ia berlaku apabila sesuatu imej statik (seperti logo saluran TV, jam, atau bar berita) dipaparkan terlalu lama di skrin. Apabila ini berlaku, imej tersebut boleh “melekat” dan meninggalkan kesan bayangan yang kelihatan walaupun kandungan lain sedang dimainkan;
- hayat panel TV OLED lebih pendek.
Apa Itu QLED?
QLED TV menggunakan Quantum dots, iaitu zarah semikonduktor bersaiz nano yang menghasilkan cahaya berwarna bergantung pada saiznya — lebih besar menghasilkan merah, lebih kecil menghasilkan biru.
Teknologi ini memberi kecerahan (luminance) tinggi, yang penting untuk kontras dan HDR (High Dynamic Range), menjadikan gambar lebih tajam dan kaya.

Walaupun teknologi quantum dot ini pada asalnya diumumkan oleh Sony dengan kerjasama QD Vision, namun Samsung dengan pantas membangunkan versinya sendiri serta bekerjasama dengan pelbagai pengeluar pakar untuk menghasilkan panel tersebut.

Dengan kecerahan tinggi, QLED mampu memaparkan lebih banyak warna dan tona yang halus, memberikan kualiti gambar yang lebih realistik.
Teknologi ini, bersama sistem seperti Direct Full Array, menghasilkan pengalaman menonton yang lebih mengagumkan berbanding TV LED biasa.
Antara kelebihan QLED adalah:
- Ketahanan terhadap Kelembapan – Quantum dots dalam QLED tahan kelembapan, menjadikannya lebih tahan lama berbanding teknologi paparan lain.
- Kos Pengeluaran Lebih Rendah – Tidak memerlukan proses penyejatan vakum yang mahal, sekali gus mengurangkan kos pembuatan QLED.
- Saiz Paparan Lebih Besar – QLED tersedia dalam pelbagai saiz besar, memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
- Reka Bentuk Nipis dan Ringan – QLED mengekalkan bentuk yang moden dan mudah digantung atau dipasang.
- Tiada isu burn-in – Lebih tahan untuk tontonan jangka panjang.
- Lebih murah dan jimat tenaga – Harga lebih berpatutan berbanding OLED dengan Skrin QLED adalah dua kali lebih cekap tenaga berbanding skrin OLED dan menawarkan peningkatan kecerahan sekitar 30 hingga 40%.

Kekurangan QLED pula termasuklah:
- QLED memerlukan unit lampu latar (backlight) untuk pencahayaan kerana ia tidak menghasilkan cahaya sendiri.
- Tiada isu burn-in, tapi TV berasaskan QLED boleh mengalami kesan “light bleed” — iaitu cahaya yang bocor di sekeliling objek terang dalam sesetengah babak, menyebabkan garis yang sepatutnya tajam kelihatan kabur.
- Sudut tontonan terbaik untuk paparan QLED ialah tepat di tengah. Kualiti gambar dari segi warna dan kontras akan merosot apabila penonton bergerak ke sisi atau dari atas ke bawah.
- Warna biru kurang tepu jika dibandingkan dengan OLED.
- Reka bentuk sedikit lebih tebal berbanding OLED.
Jadi, Mana Lagi Power?
Kalau anda seorang peminat filem, mahukan paparan yang memukau dalam gelap, dan sanggup labur lebih — OLED adalah pilihan terbaik.
Malah isu seperti burn-in pada panel TV OLED semakin ditambah baik dengan teknologi terkini serta dapat dihindari dengan cara penjagaan yang betul.
Tetapi, bagi anda yang mahukan TV yang terang, tahan lasak, dan sesuai untuk tontonan sekeluarga di ruang tamu yang cerah, TV QLED adalah pilihan yang lebih praktikal dan menjimatkan di mana ia boleh didapati pda harga sekitar RM2,000 sahaja (bergantung pada saiz dan jenama).
Kesimpulannya, pilihan TV terbaik di rumah anda tak ada yang mutlak lebih baik, semuanya bergantung kepada bajet, keperluan, dan citarasa anda.
{suggest}
Beli TV OLED dan QLED dari stor rasmi di:
- Shopee – https://invl.me/clmuhty
- Lazada – https://invl.me/clmuhu0