Hari ini, Malaysia meraikan sambutan hari lahir ke-100 tahun negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7.
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai tokoh politik yang berwibawa, tetapi juga sebagai pemimpin berani dan berpandangan jauh yang telah meletakkan asas kukuh bagi pembangunan sains dan teknologi di Malaysia.
Maka tidak hairanlah beliau digelar sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia”.
Sepanjang pentadbirannya yang menjangkau lebih dua dekad (1981–2003 dan 2018–2020), beliau telah melancarkan pelbagai inisiatif penting yang mengubah landskap teknologi negara dan mempercepatkan kemajuan Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi.

Dasar Pandang Ke Timur
Dasar Pandang Ke Timur ini telah diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8hb. Februari 1982 semasa Persidangan “5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA” di Hilton Kuala Lumpur.
Dasar ini bermakna, pihak Kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada Negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia.
Objektif utama Dasar Pandang Ke Timur ini ialah untuk meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan golongan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang positif untuk meninggikan kemajuan negara.
Wawasan 2020
Tun Mahathir sering menekankan betapa pentingnya pembudayaan sains dan penguasaan teknologi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, Tun Mahathir telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk “Malaysia ‐ Melangkah ke Hadapan” yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, yang dikenali sebagai “Wawasan 2020”.
Dalam kerangka ini, sains dan teknologi dilihat sebagai pemangkin utama kepada kemajuan ekonomi dan sosial.
Salah satu objektif wawasan ini adalah mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif,mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang kedepan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.
Matlamat terakhir yang dicita‐citakan ialah pembentukan sebuah Negara Malaysia yang benar‐benar maju menjelang tahun 2020.
Penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia)
Antara inisiatif terpenting Tun Mahathir adalah penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) pada tahun 1996 yang telah menjadi titik permulaan kepada pembangunan sistem kerajaan elektronik (e-Kerajaan).
MSC merupakan zon ekonomi khas yang direka khusus berasaskan industri IT dan telekomunikasi merangkumi kawasan seluas 750km/segi meliputi Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pusat pentadbiran baru kerajaan (Putrajaya) dan bandar multimedia (Cyberjaya).
MSC berfungsi sebagai pusat pelaburan industri multimedia dan teknologi Asia di mana syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa boleh menyertai MSC bagi menikmati insentif dan kelebihan lain seperti pengecualian cukai dan jaminan kerajaan.

Penubuhan MIMOS
Di bawah pimpinan Tun Mahathir juga, lahirnya penubuhan institusi penyelidikan MIMOS Berhad.
MIMOS pada mulanya ditubuhkan sebagai Institut Mikroelektronik Malaysia pada tahun 1985 di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Ia kemudiannya telah dikorporatkan pada tahun 1996 sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab untuk menjalankan R&D dalam bidang ICT serta sebagai penasihat kepada kerajaan dalam bidang teknologi, polisi dan strategi pembangunan ICT negara.
Pada tahun 1995, MIMOS juga telah dilantik sebagai urus setia kepada Majlis Teknologi Maklumat negara.
Kini, MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berfungsi sebagai pusat inovasi terkemuka yang memberi tumpuan kepada penyelidikan semikonduktor, elektronik lanjutan & sistem terbina serta teknologi untuk pembuatan dan negara pintar.
Selamat Hari Lahir Tun Mahathir
Sebenarnya, terdapat banyak lagi peranan dan sumbangan besar Tun Dr. Mahathir Mohamad secara langsung mahupun tidak langsung dalam mencorakkan pembangunan dan pemodenan Malaysia.
Pembinaan Jambatan Pulau Pinang, penubuhan Proton (Perusahaan Otomobil Nasional), Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan pembinaan Menara Berkembar Petronas adalah antara pencapaian besar lain yang dicapai negara ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Apa yang dapat disimpulkan, pemikiran Tun Mahathir yang jauh ke depan telah menjadi asas kepada pemodenan negara yang kini dinikmati negara.
Mengambil contoh, penubuhan MSC adalah antara pencapaian terbesar beliau yang telah merubah lanskap teknologi negara yang kini dinikmati rakyat Malaysia seperti capaian rangkaian gentian optik pantas, kemudahan Kerajaan elektronik (e-Kerajaan), kewujudan sekolah bestari dan pertumbuhan teknologi-teknologi baharu.
Sumbangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bidang sains dan teknologi amat besar dan bersifat jangka panjang.
Beliau bukan sahaja membuka jalan bagi pertumbuhan teknologi, tetapi juga menanam semangat berdaya saing dan berdikari dalam kalangan rakyat Malaysia.
Warisan pemikirannya dalam bidang ini masih menjadi panduan dalam pembangunan negara ke arah era digital dan Revolusi Industri Ke-4 (IR 4.0).
Malaysia hari ini tidak mungkin berada pada tahap kemajuan teknologi seperti sekarang tanpa visi dan tindakan berani seorang negarawan bernama Tun Dr. Mahathir Mohamad.
{suggest}