Siapa tak kenal dengan jenama LG? Suatu ketika dulu, telefon pintar LG pernah menambat hati ramai pengguna. Namun, pada Julai 2021, LG Electronics Inc telah menghentikan bahagian mudah alih mereka, iaitu LG Mobile.
Keputusan itu berikutan kerugian yang dialami LG Mobile selama 6 tahun berturut-turut berjumlah kira-kira US$4.5 bilion (~RM19 bilion).
Dilaporkan kali terakhir LG Mobile memperoleh keuntungan adalah pada tahun 2014, dan pada masa itu, mereka dianggap sebagai salah satu pengeluar telefon pintar terkemuka di dunia.
Sebelum diulas dengan lebih lanjut tentang kenapa LG Mobile ditutup, kita selusuri dulu kisah perjalanan LG.
Permulaan yang baik
Umum tahu pasaran telefon pintar sentiasa menjadi persaingan sengit dan LG boleh dikatakan ialah pesaing yang kuat kerana sifat mereka yang berani mengambil risiko.
2011 merupakan tahun yang membanggakan buat LG apabila berjaya masuk ke dalam Rekod Dunia Guinness selepas Optimus 2Xnya menjadi telefon dwi-teras (dual-core) pertama di dunia yang tersedia untuk umum.
Walaupun terdapat masalah pada perisiannya (OS), pengguna awal peranti tersebut memilih untuk mengabaikan kelemahannya.
Bukan itu sahaja, telefon pintar siri G pertama LG, Optimus G, pernah dianggap lebih baik daripada telefon flagship Samsung dan HTC pada masa itu. Berikutan itu, LG terus mengeluarkan telefon pintar kedua dalam siri G iaitu G2 pada tahun 2013.
G2 mempunyai bateri yang lebih besar berbanding Samsung Galaxy S4 dan HTC One M7, dan kameranya menyokong rakaman 1080p/60fps sebelum Samsung menawarkannya.
LG Mobile berinovasi tinggi
Pada tahun 2011 juga, Optimus L4 dari LG juga menjadi telefon pintar tiga SIM (triple-SIM) yang pertama di pasaran.
Kemudian pada tahun 2015, LG G4 pula mengembalikan bahagian belakang menggunakan kulit (leather) pada beberapa varian, ciri yang telah diikuti oleh Huawei, Oppo dan vivo sejak itu.
Malah, LG G4 turut mempunyai slot pengembangan untuk kad microSD dan bateri boleh tanggal, yang kemudiannya menjadi ciri yang didatangkan pada telefon pintar LG yang lain.
Ciri bateri boleh tanggal ini berkesan dengan pengguna tertentu kerana ia membolehkan mereka menggantikan dan mengecas bateri kosong dengan mudah melalui “cradle” yang turut dijual oleh LG.
Tambahan lagi, salah satu telefon pintar LG yang paling banyak diperkatakan dalam sejarah mungkin hanya V20, yang dilancarkan pada tahun 2016.
LG V20 merupakan telefon pintar LG pertama yang menawarkan Quad DAC, sistem yang meningkatkan kualiti audio port.
Ia kemudiannya menjadi ciri utama telefon pintar LG, menjadikannya pilihan untuk audiophile, DJ dan pemuzik.
Reka bentuk telefon pintar unik lain yang dihasilkan oleh LG sebelum ini termasuk LG G Flex, telefon pintar fleksibel pertama di dunia, V40 dengan lima kameranya, dan sarung dwi-skrin LG.
Apabila pesaing lain mula mengeluarkan telefon boleh lipat, LG mengambil haluan berbeza dan sebaliknya menawarkan kepada pengguna skrin kedua pilihan yang boleh dipasang dan ditanggal pada V50, G8x dan V60 mereka.
LG mula menghadapi isu
Pada suku pertama tahun 2014, LG mendedahkan bahawa mereka telah menjual lebih daripada 5 juta telefon pintar berdaya LTE, 79% lebih daripada apa yang telah mereka jual untuk keseluruhan tahun sebelumnya.
Rekod ini merupakan rekod terbaik LG, bahkan mereka telah mengeluarkan 12.3 juta telefon pintar pada trimester pertama tahun itu.
{suggest}
Apatah lagi, pada masa itu, syarikat itu juga mempunyai portfolio telefon pintar pada titik harga yang berbeza, menjadikannya pilihan yang boleh dinikmati oleh ramai orang.
Kendatipun begitu, beberapa isu utama mula membelenggu barisan mudah alih syarikat dan menyebabkan LG mula kehilangan jualan.
1. Isu ‘Bootloop’ yang meruntuhkan keyakinan pelanggan
Telefon flagship LG pada tahun 2015, G4, mula mengalami masalah bootloop, masalah dengan perkakas (hardware) yang menyebabkan telefon memasuki kitaran but semula yang tidak berkesudahan.
Pengguna yang terjejas terpaksa mencari pusat servis dan menerima G4 gantian, tetapi malangnya banyak pengganti menghadapi masalah bootloop yang sama.
Tentunya hal ini meruntuhkan keyakinan pelanggan dan mungkin juga kepercayaan kepada LG.
Kemudian pada tahun 2018, LG menyelesaikan tuntutan mahkamah berhubung isi bootloop yang bukan sahaja pada G4, tetapi juga pada G5, V10 dan V20, antara yang lain.
2. Usaha yang tidak membuahkan hasil
LG, yang sentiasa mahu memberikan pengguna pengalaman yang berbeza, mula bereksperimen dengan telefon pintar modular.
Mereka membolehkan lampiran berbeza disambungkan ke bahagian bawah G5, yang sepatutnya menyediakan fungsi tambahan.
Walau bagaimanapun, bilangan dan kegunaannya terhad dan oleh itu, turut tidak terkenal dalam kalangan pengguna.
3. Lambat dalam mengemas kini perisian utama
LG mempunyai rekod prestasi yang lemah dalam menyediakan pengguna kemas kini perisian utama tepat pada masanya walaupun untuk peranti utama mereka.
Mereka juga sebenarnya telah mengakui hal ini beberapa kali dan berkata akan membangunkan divisyen spesifik untuk mempercepatkan perkara ini.
Pada tahun 2018, dapat dilihat usaha divisyen baru ini tercapai melalui bahagian ‘Software Upgrade’ mereka, namun atas sebab tertentu, hanya sedikit sahaja peningkatan yang dilakukan.
4. Usaha pemasaran yang lemah
Berbanding dengan jenama telefon pintar lain seperti Samsung dan Apple, LG tidak benar-benar mengiklankan pelancaran telefon pintar baharu mereka. Ini menyebabkan pelancaran mereka biasanya terletak di bawah radar jenama lain sahaja.
Tanpa taktik pemasaran yang bijak, satu atau dua ciri yang menonjol pada peranti masih tidak cukup untuk meyakinkan pengguna untuk membuat pembelian.
5. Selalu yang terawal, tetapi jarang yang terbaik
Salah satu perkara paling kukuh tentang LG ialah sikap mereka yang berani mencuba untuk mencipta reka bentuk yang unik, tetapi kelemahan yang ada pada LG pula adalah tiada keyakinan untuk mengembangkan lagi reka bentuk yang sedia ada.
Dalam erti kata lain, LG sering menjadi yang pertama dalam melancarkan banyak reka bentuk unik pada suatu ketika dulu, yang akhirnya idea mereka ditiru dan ditambah baik oleh jenama lain pada kadar yang lebih pantas.
Ambil contoh fungsi kamera ultra lebar dan tolakan tanpa bezel awalnya pada LG G2, kedua-dua ciri yang kemudiannya dipopularkan oleh pesaing mereka sendiri.
Kesimpulan
Jelas bahawa walaupun jenama lain memilih jalan yang lebih selamat iaitu penambahbaikan melalui lelaran, LG lebih suka untuk mencuba sesuatu yang baharu atau radikal.
Malangnya, langkah inovatif mereka ini gagal, yang membawa kepada penerimaan dan jualan yang sangat perlahan. Untuk bergantung kepada pengguna awal sahaja tentunya tidak akan dapat mengekalkan jenama LG.