Sempena sambutan World Backup Day, Toshiba secara rasminya telah memulakan penghantaran sampel barisan cakera keras (HDD) terbaharu mereka, siri M12.
Penghantaran sampel ini ditujukan khas buat penyedia perkhidmatan awan dan pusat data berskala besar yang memerlukan kapasiti storan ekstrem bagi menguruskan lambakan data daripada teknologi kecerdasan buatan (AI).
Apa yang menarik tentang siri M12 ini adalah ia merupakan HDD pertama Toshiba yang memuatkan 11 keping cakera di dalam satu kerangka 3.5 inci.
Bagi menjayakan rekaan senipis ini, Toshiba menggantikan substrat aluminium biasa dengan bahan kaca yang lebih tahan lasak dan nipis. Ruang dalamnya pula diisi dengan gas helium dan menggunakan teknologi Flux Control Microwave-Assisted Magnetic Recording (FC-MAMR) untuk mencapai kapasiti antara 30TB hingga 34TB.
Siri M12 menggunakan teknologi Shingled Magnetic Recording (SMR) yang menyusun trek data secara bertindih seperti susunan genting bumbung untuk meningkatkan ketumpatan storan.
Walaupun teknologi SMR biasanya berdepan isu kelajuan penulisan, Toshiba menggunakan seni bina host-managed SMR bagi memastikan pengendalian data kekal cekap dan mengurangkan penurunan prestasi dalam persekitaran pelayan.
Dari segi prestasi, HDD ini mampu mencapai kadar pindahan data sehingga 282 MiB/s, iaitu peningkatan sekitar 8% berbanding generasi sebelum ini.
Paling penting bagi pengusaha pusat data, penggunaan kuasa bagi setiap terabait (W/TB) juga adalah 18% lebih rendah, sekali gus menjadikannya lebih jimat tenaga untuk operasi berterusan 24/7.
Selain model SMR 34TB yang sudah mula dihantar sampelnya, Toshiba turut merancang untuk memulakan penghantaran sampel bagi varian Conventional Magnetic Recording (CMR) dengan kapasiti sehingga 28TB pada suku ketiga 2026.

Selepas ini, mereka sasar untuk meningkatkan lagi kapasiti melalui teknologi Heat Assisted Magnetic Recording (HAMR) dan konfigurasi 12 cakera pada masa hadapan.
{suggest}
