TM Mempunyai Perancangan Terperinci Untuk Memberi Dan Meningkatkan Jangkauan Sambungan Internet Di Seluruh Malaysia

Bagi mencapai matlamat pelan JENDELA untuk menyediakan sambungan internet kepada setiap premis termasuklah rumah, kedai, pejabat dan lain-lain di seluruh Malaysia yang dianggarkan berjumlah lebih kurang sembilan juta, Telekom Malaysia Berhad (TM) memaklumkan bahawa mereka mempunyai perancangan yang terperinci untuk memberi dan meningkatkan jangkauan sambungan internet melalui teknologi mudah alih, tetap dan tanpa wayar.

Dalam temu bual bersama rancangan Selamat Pagi Malaysia minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata matlamat sebenar Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) adalah untuk menyediakan perkhidmatan dan liputan internet yang lebih luas dan lebih baik kepada Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan masyarakat.

Sekaligus merapatkan jurang digital antara pengguna bandar dan laur bandar melalui teknologi digital.

Walaubagaimanapun beliau menyatakan bahawa  terdapat cabaran yang perlu ditangani sebelum dapat merealisasikan sepenuhnya aspirasi tersebut.

Antara cabarannya adalah TM perlu menambah lebih ramai lagi rakan-rakan teknologi sedia ada bagi sumber tenaga kerja untuk mempercepatkan pelaksanaan, kelulusan dari pihak berkuasa tempatan bagi pembangunan dan penyediaan infrastruktur dan lain-lain.

TM adalah salah sebuah syarikat penyedia telekomunikasi negara yang terlibat dalam pelaksanaan JENDELA yang diketuai oleh Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia.

JENDELA yang bernilai RM21 bilion itu dilaksanakan melalui dua fasa di mana Fasa 1 telah pun bermula pada tahun 2020 dan akan berakhir pada tahun 2022. Manakala Fasa 2 pula akan bermula dari tahun 2022-2025.

Sumber: TM