Kebanyakan kedai makan hari ini sudah tidak menggunakan khidmat manusia lagi untuk menerima pesanan. Pelanggan datang, imbas kod QR di meja dan pesan melalui telefon.
Senang kata, kedai makan kecil-kecilan pun sudah menuju ke arah digitalisasi.
Jadi, kalau manusia di kilang sudah digantikan dengan robot, apa bezanya di Restoran Rosmiza?
Minggu lalu, kami membuat tinjauan secara online dengan bertanyakan pengikut di media sosial – apa pendapat anda tentang penggunaan kod QR untuk order makanan di kedai?
Ramai yang tidak suka pesan melalui kod QR
Walaupun teknologi semakin canggih setiap saat, tapi masih ramai tidak selesa dengan perkembangan teknologi di kedai makan.
Rupa-rupanya, ramai yang begitu terseksa dengan kaedah imbasan kod QR untuk memesan makanan sehinggakan ada yang sanggup ke kedai lain hanya kerana enggan pesan melalui telefon.
Banyak dah kedai guna khidmat QR code untuk ambil order. Scan QR, korang pilih sendiri menu.
Ada customer suka, ada yang marah.
Korang macam mana? pic.twitter.com/iSfMIMxK3b
— wiser.my (@officialwisermy) March 11, 2023
Kenapa?
Berdasarkan pengalaman peribadi mereka, antara alasan diberikan:
- Masalah rangkaian/liputan di kedai
- Kedai tidak sediakan Wi-Fi untuk pengguna
- Kurang mesra golongan kurang celik IT seperti warga emas
- Tiada interaksi insani
- Sistem yang perlahan
- Sesetengah kedai tetapkan supaya bayar dulu, jadi masalah kalau makanan diterima tidak seperti dipesan
- Ada sistem yang memerlukan pengguna untuk daftar akaun dahulu
- Kurang sesuai untuk ibu bapa dengan anak kecil kerana perlu tumpu pada telefon dan anak pada masa sama
- Navigasi sistem yang tidak mesra pengguna (tertekan back, perlu ulang semula)
- Telefon habis bateri dan isu seumpamanya
Ramai juga yang selesa memesan melalui telefon
Namun, didapati tidak kurang ramai yang selesa dan gemar pesan makanan melalui telefon. Mereka ini dilihat pengguna yang celik IT dan generasi muda.
Melalui undian di Twitter, 66% daripada 614 pengguna suka dengan penggunaan kod QR untuk order makanan.
Order makan guna kod QR. Undo sikit guys
— wiser.my (@officialwisermy) March 11, 2023
Kenapa?
Menerusi jawapan di Twitter dan Facebook, antara sebab mereka lebih suka pesan daripada kod QR berbanding manual:
- Jimatkan masa pelayan kerana tidak perlu tunggu pelanggan pilih makanan
- Jimatkan masa pelanggan kerana tak perlu tunggu pelayan
- Pelanggan mempunyai kebebasan sendiri dari segi masa
- Boleh terus bayar, tak perlu ke kaunter
- Keseluruhan proses yang memudahkan pengguna
Cadangan pengguna
Seperti biasa, netizen mempunyai solusi untuk semua benda. Ada yang tidak praktikal, namun banyak juga yang masuk akal dan sepatutnya dilaksanakan oleh tuan kedai.
- Henti guna sistem kod QR, guna pesanan manual 100%
- Laksana kedua-dua kaedah – imbas QR dan manual
- Kedai sediakan peranti, bukan pelanggan guna telefon sendiri
- Sediakan Wi-Fi
- Mansuhkan caj perkhidmatan (service charge) kerana pelanggan buat pesanan sendiri
Dalam banyak-banyak komen, saya belum jumpa yang menyentuh hal keselamatan data peribadi. Hal ini kerana ada sistem yang memerlukan pengguna berdaftar dengan nombor telefon terlebih dahulu.
Untuk e-mel, saya akan gunakan e-mel daripada Duck dan bukan Gmail kerana ia berfungsi menapis segala tracker daripada penghantar dan bertindak sebagai e-mel kedua.
Kalau nombor telefon pula, seeloknya guna nombor yang bukan kegunaan utama anda.
Jadi, jika ada kebocoran data berlaku, sekurang-kurangnya data utama anda masih selamat.
Kesimpulan
Penyelesaian terbaik — kedai menerima kedua-dua cara pesanan kerana ia sudah merangkumi 100% pelanggan.
Dengan mengimplimentasikan kaedah moden dan tradisional, kedai juga pastinya akan menerima lebih ramai pelanggan (yang mungkin lari daripada kedai sebelah kerana hanya sediakan kod QR).
Penyediaan Wi-Fi juga salah satu cara untuk atasi masalah sambungan. Tapi, anda harus ingat sesetengah pelanggan memang tidak suka cara ini, bukan hanya kerana sambungan Wi-Fi.
Kita semua harus bergerak seiring teknologi atau ditinggalkan terutamanya golongan muda. Di saat industri sudah mula terang-terangan menggunakan ke arah digital, pelanggan juga perlu adaptasi dan selesakan diri.
Dengan aduan pengguna, sistem juga akan ditambah baik dan semakin ramai akan menggunakannya.
Dalam masa 5 tahun lagi, kaedah ini pastinya akan digunakan lebih meluas. Waktu itu, relevan lagikah untuk pengguna mengeluh di media sosial, “Nampak je ambil order QR, terus angkat kaki. Menyusahkan”?