Satu tinjauan baru yang dibuat baru-baru ini mendedahkan sebab utama mengapa pengguna iPhone memandang rendah terhadap telefon Android.
Hasil tinjauan itu agak mengejutkan kerana banyak aduan yang dinyatakan sebenarnya berpunca daripada sistem Apple itu sendiri.
Berikut adalah 5 faktor terbesar yang didapati oleh tinjauan itu mengapa pengguna iPhone memandang rendah pada telefon Android:
1. Kualiti gambar/video rendah dalam mesej
Masalah utama yang paling dikeluhkan ialah kualiti gambar dan video. Hampir 60% responden pengguna iPhone berkata mereka terganggu dengan media berkualiti rendah apabila berkomunikasi antara iPhone dan Android.
Namun ironiknya, isu ini sebenarnya berpunca daripada sistem iMessage milik Apple sendiri, yang secara automatik memampatkan media apabila dihantar kepada pengguna bukan iPhone.
Sebaliknya, pengguna Android boleh menghantar gambar dan video berkualiti tinggi dengan mudah dan jelas melalui aplikasi seperti WhatsApp, Google Photos, atau mesej RCS.
Malangnya, ramai pengguna iPhone masih menyalahkan Android atas isu penurunan kualiti tersebut.
2. Masalah dalam platform sembang berkumpulan
Mesej berkumpulan sepatutnya memudahkan komunikasi, namun apabila pengguna iPhone dan Android digabungkan dalam satu kumpulan, ia sering menjadi sebaliknya.
Tinjauan itu mendapati, sekitar 50% responden iPhone mengelak daripada menyertai grup sembang bersama pengguna Android ekoran isu mesej teks.
Tetapi masalah ini berlaku jika seseorang itu terlalu bergantung pada iMessage.
Ia ekoran ciri “quick reactions” dalam mesej teks yang diperkenalkan Apple pada tahun 2016 dahulu yang membolehkan pengguna memilih daripada enam reaksi untuk membalas mesej dengan pantas
Ciri ini kemudiannya ditambah baik, membolehkan pengguna memilih sebarang emoji sebagai reaksi.
Namun begitu, fungsi ini tidak berjalan lancar apabila digunakan dengan pengguna sistem operasi berbeza, seperti Android.
Dalam kebanyakan kes, reaksi yang dihantar tidak dipaparkan sebagai emoji sebenar tetapi sebagai teks biasa.
Ini menyebabkan pengalaman komunikasi antara 2 sistem yang berbeza ini menjadi kurang lancar dan kadangkala mengelirukan antara pengguna iPhone dan Android di AS.
Walhal, ada saja aplikasi lain seperti WhatsApp, Telegram atau Signal sebenarnya menawarkan pengalaman mesej berkumpulan yang lebih lancar dan seragam tanpa mengira jenis telefon.
3. Emoji tak seragam
Reka bentuk emoji yang boleh jadi berbeza rupanya apabila dihantar dan diterima antara telefon iPhone dan Android menyebabkan 40% responden iPhone menyatakan bahawa ketidaksepadanan gaya dan variasi emoji sebagai menjengkelkan.
Namun begitu, masalah ini sebenarnya lebih kepada perbezaan gaya visual, bukan fungsi.
Di pihak pengguna Android pula, mereka jarang ambil peduli akan hal ini. Malah mereka menganggap kepelbagaian reka bentuk emoji sebagai satu keunikan, bukan kekurangan.
4. Isu ‘blue vs green bubble’
Perbezaan warna mesej juga rupa-rupanya mencetuskan diskriminasi dalam platform sembang, walaupun ini hanya berlaku dalam sistem Apple dan tidak wujud dalam Android.
Ini kerana, bagi hampir 39% rakyat Amerika, ia lebih daripada sekadar kosmetik kerana ia boleh mempengaruhi siapa yang disertakan dalam perbualan dan kadangkala menyebabkan penghinaan berdasarkan jenis telefon.
Namun begitu, pengekodan warna ini hanya wujud dalam iPhone sahaja.
Pengguna Android tidak melihat perbezaan ini, dan aplikasi seperti WhatsApp atau Telegram langsung tidak mencetuskan jurang ini.
Sebenarnya, “drama warna gelembung” ini berpunca daripada sistem tertutup Apple, bukannya kelemahan teknikal di pihak Android.
5. Tiada ‘read receipts’ atau tanda menaip
Fungsi seperti read receipts (tanda mesej telah dibaca) dan typing indicators (petunjuk sedang menaip) memudahkan komunikasi kerana pengguna tahu bila mesej dibaca atau bila seseorang sedang membalas.
Ciri ini berfungsi dengan lancar antara pengguna iPhone, tetapi tidak berlaku kepada pengguna Android.
Namun begitu, ini bukan salah Android. Sistem RCS pada Android sebenarnya menyokong kedua-dua ciri ini, tetapi Apple tidak menyokong RCS, menjadikan fungsi tersebut tidak boleh digunakan dalam mesej antara iPhone dan Android.
Dalam perbualan sesama pengguna Android, ciri-ciri ini sudah menjadi standard.
Jadi, kekurangan ini sebenarnya berpunca daripada sikap tertutup Apple terhadap standard mesej moden, bukannya kelemahan Android.
Pihak Secure Data Recovery yang menjalankan tinjauan ini di AS menyimpulkan, perbezaan antara sistem iPhone dan Android ini telah menyebabkan pengguna Android sering menerima kritikan hanya kerana jenis telefon yang mereka gunakan.
Malah, hampir 1 daripada 2 pengguna Android mengaku pernah dihina kerana menggunakan Android.
Apa yang lebih menarik adalah 49% responden pengguna iPhone mengakui sendiri bahawa mereka pernah melakukan “phone shaming” terhadap pengguna Android.
Namun begitu, separuh daripada mereka juga sebenarnya percaya bahawa sesetengah telefon Android setanding dengan iPhone, tetapi mereka tidak mahu mesej bertukar kepada warna hijau yang menjadi simbol mesej dihantar bukan dari pengguna iPhone.
Ini menunjukkan bahawa stigma ini lebih bersifat persepsi dan status sosial, bukan soal keupayaan dan kepelbagaian teknologi sebenar yang dinikmati pengguna.
{suggest}
Sumber: Secure Data Recovery