Kajian terkini menunjukkan bahawa hidup dalam kawasan bersuhu tinggi seperti di bandar-bandar yang dipenuhi dengan hutan konkrit bukan sahaja membuatkan tubuh lebih cepat berpeluh, malah boleh mempercepatkan proses penuaan.
Menurut kajian oleh penyelidik di USC Leonard Davis School of Gerontology, penduduk di kawasan panas melampau mempunyai usia biologi sehingga 14 bulan lebih tua berbanding mereka di kawasan lebih sejuk, walaupun selepas mengambil kira faktor gaya hidup, pendapatan, dan kesihatan.
Menurut kajian itu, pendedahan berpanjangan kepada panas ekstrem memberi tekanan besar kepada pelbagai sistem tubuh.
Ia meliputi kardiovaskular yang memerlukan jantung bekerja lebih keras untuk menyejukkan badan, gangguan pada sistem saraf ekoran risiko pening, kekeliruan, dan masalah memori.
Buah pinggang pula berdepan kesukaran untuk mengekalkan air menyebabkan risiko dehidrasi, serta sistem imun badan bertindak balas keradangan berlebihan seperti jangkitan.
Saintis juga mendapati haba kronik boleh mengubah fungsi gen melalui penuaan epigenetik, iaitu perubahan pada DNA akibat stres berulang.
Kesan ini boleh kekal lama selepas pendedahan haba berakhir, menyebabkan tubuh “mengingati” tekanan ini dengan cara yang merosakkan kesihatan jangka panjang.
Penyelidik menyimpulkan, kepanasan ekstrem memberi kesan sama serius dengan tabiat buruk seperti merokok atau pengambilan alkohol berlebihan yang mempercepatkan kerosakan organ, memendekkan jangka hayat, dan menjejaskan kualiti hidup.
Walaupun pendedahan terhadapa cucaca panas tidak dapat dielakkan jika anda tinggal di iklim yang sangat panas, banyak kesan biologi yang tidak baik akibat haba boleh dikurangkan seperti penggunaan pendingin hawa.
“Pendingin hawa bukanlah kemewahan di iklim panas yang ekstrem – ia adalah keperluan kesihatan, terutama bagi orang dewasa yang berusia lebih 50 tahun. Bahkan menyejukkan satu bilik boleh memberikan perlindungan yang signifikan.” Adedapo Iluyomade, pakar kardiologi pencegahan di Institut Kardiak & Vaskular Miami.
{suggest}