Sesetengah pengguna TikTok di Malaysia kini sudah boleh memohon untuk mengaktifkan servis TikTok PayLater di akaunĀ mereka.
TikTok Shop Academy Malaysia juga telah menyediakan halaman bantuan yang menerangkan berkenaan perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) itu untuk pengguna di negara ini.
Apa itu TikTok PayLater?
Seperti kad kredit, ia merupakan perkhidmatan bayaran ansuran yang membenarkan pengguna berhutang untuk membeli satu-satu produk.
Bezanya, ia ditawarkan oleh TikTok sendiri melalui PIPO Fintech Services (MY) Sdn Bhd dan anda berhutang terus dengan TikTok, bukan dengan bank atau Atome.
Senang cerita, ia sama saja dengan Shopee Pay Later.
Bagaimana nak tahu saya dapat atau tidak?
Buka aplikasi TikTok, pergi ke tab Shop, dan cari jika ada ikon dengan tulis PayLater terpampang seperti dalam imej di bawah.
Ada butang PayLater, apa perlu saya buat?
Jika anda mahu mengaktifkannya, tekan ikon tersebut dan ikut arahan. Anda kelak diminta untuk mengambil gambar MyKad dan sebagainya sebagai langkah pengesahan identiti.
Ada butang PayLater, tapi saya tak mahu guna!
Abaikan saja ikon PayLater tersebut kerana ia tidak akan aktif selagi anda sendiri tidak memohon untuk mengaktifkannya.
Ikon PayLater tersebut berfungsi sebagai tanda anda boleh memohon dan menggunakannya (jika lulus), bukan bermaksud ia terus diaktifkan secara automatik.
Saya dah buat pengesahan identiti. Berapa lama saya perlu tunggu untuk pengaktifan?
Dalam masa 3 hari bekerja.
Bolehkah saya guna satu MyKad untuk beberapa akaun TikTok?
Tidak boleh. Satu MyKad hanya dibenarkan untuk didaftarkan untuk satu akaun TikTok saja.
Berapa banyak ‘limit’ perbelanjaan diberikan?
Ia bergantung kepada gaya perbelanjaan anda di TikTok. Jadi, setiap orang mempunyai had berbeza.
Selain itu, ia juga akan disemak secara berkala dan berubah mengikut tempoh. Misalnya, had anda pada Disember 2024 ialah RM10,000 tapi ia mungkin berkurang atau meningkat pada bulan Jun 2025 kelak, bergantung kepada jumlah hutang dan perbelanjaan anda.
Macam mana nak tingkatkan ‘limit’ TikTok PayLater?
Akaun anda akan dipantau dan disemak secara berkala. Kata TikTok, “Mengekalkan tingkah laku pembayaran yang sihat menyumbang kepada penilaian yang positif.”
Jadi, pastikan anda sentiasa bayar sebelum tarikh akhir.
Berapa lama tempoh ansuran tersedia?
Buat masa ini, anda boleh berhutang dalam tempoh:
- 3 bulan
- 6 bulan
- 9 bulan
- 12 bulan
Namun, ia bergantung kepada jenis produk, jumlah dan profil pengguna.
Apa maksud “No down payment”?
Uniknya servis BNPL disediakan TikTok ini, tidak seperti platform lain, anda tidak perlu bayar ansuran bulan pertama sewaktu pembayaran.
Sebaliknya, anda diberikan tempoh selama 41 hari untuk membayarnya. Ini pastinya bahaya untuk mereka yang boros kerana anda tidak terasa wang berkurang selepas mendapat barang.
Saya dah bayar guna Tiktok PayLater untuk 6 bulan. Bolehkah saya tukar ke 12 bulan?
Tak boleh. Anda tidak mempunyai pilihan untuk menukar tempoh ansuran selepas pembayaran telah dibuat.
Apakah perbelanjaan minimum produk yang layak untuk dibeli dengan TikTok PayLater?
Ia bergantung pada tempoh ansuran. Rujuk jadual di bawah.
Adakah ia patuh syariah?
Mungkin tidak.
Hal ini kerana melalui halaman TikTok Seller Academy, tidak didedahkan apakah ia diiktiraf patuh syariah atau tidak.
Ada “caj pemprosesan” atau ‘processing fee’ tak?
Sebanyak 1.5% caj pemprosesan akan dikenakan untuk semua tempoh ansuran, ke atas jumlah pembayaran keseluruhan.
Berapa tinggi ‘caj kelewatan’ dikenakan kalau saya bayar lambat?
Tidak ada caj kelewatan dikenakan, setakat ini.
Tetapi, akaun PayLater anda akan dibekukan. Anda perlu bayar sebanyak RM10 untuk menyahbekunya.
Bolehkah saya beli produk digital dengan TikTok PayLater?
Tidak boleh.
Apa kaedah pembayaran diterima untuk bayar hutang PayLater ini?
Setakat ini, TikTok menerima:
- Kad kredit dan kad debit
- GrabPay
- TNG eWallet
- Boost
- Perbankan internet
Kenapa akaun TikTok saya tak dapat pun PayLater?
Menurut TikTok, ia hanya ditawarkan untuk pengguna terpilih buat masa ini.
Saya ada ikon Pay Later, dah mohon dan buat pengesahan identiti tapi ditolak. Kenapa?
Ada boleh cuba lagi. Menurut TikTok, permohonan untuk mengaktifkannya tidak dicampurtangan secara manual.
Ia dipengaruhi dua sebab:
- Maklumat dimasukkan adalah salah atau tidak lengkap.
- Tidak menepati kriteria.
Jadi, pastikan anda semak maklumat sebelum menghantarnya dan pastikan gambar seperti MyKad ditangkap dengan jelas.
Saya boleh mohon pengaktifan TikTok PayLater. Tapi apa kriterianya?
Antara kriteria yang perlu dipatuhi ialah:
- Rakyat Malaysia yang mempunyai MyKad.
- MyKad tidak didaftarkan dengan akaun TikTok yang lain.
- Berumur 18 tahun dan ke atas.
TikTok PayLater saya dah aktif. Macam mana nak guna?
Ketika ‘check-out’, pilih TikTok PayLater sebagai kaedah pembayaran (payment method).
Kalau anda sudah biasa ‘shopping online’ terutamanya dengan SPayLater, jadi pastinya anda fasih menggunakannya.
Bolehkah saya tamatkan atau buang TikTok PayLater selepas dah aktifkannya?
Tak boleh. Selepas ia diaktifkan, anda tidak mempunyai pilihan untuk nyahaktif. Anda boleh pilih untuk tidak menggunakannya.
Dah aktif, tapiĀ kenapa masa bayar tak ada pilihan TikTok PayLater?
Ada beberapa faktor, termasuk barang atau peniaga tersebut yang tidak menyokong PayLater, seperti produk digital. Rujuk rajah di bawah.
Terma dan syarat lebih terperinci?
Bacanya di SINI.
Sumber: TikTok Shop Academy Malaysia
{suggest}