TikTok di Amerika Syarikat kini berada di bawah entiti baharu dikenali sebagai TikTok USDS Joint Venture LLC, sebagai langkah pematuhan terhadap keperluan kawal selia di negara itu.
Menurut pengumuman rasmi, usahasama (joint venture) ini diwujudkan selaras dengan Perintah Eksekutif yang ditandatangani Presiden AS Donald Trump pada 25 September 2025, yang membolehkan pengguna dan perniagaan di Amerika Syarikat terus menggunakan platform tersebut.
Antara fokus utama TikTok USDS Joint Venture termasuk perlindungan data pengguna AS, keselamatan algoritma, jaminan perisian serta pelaksanaan dasar kepercayaan dan keselamatan (trust & safety) seperti pemantauan kandungan.
TikTok memaklumkan data pengguna AS akan dilindungi oleh USDS Joint Venture dalam persekitaran awan Oracle di negara itu, selain melaksanakan program privasi data dan keselamatan siber yang diaudit dan diperakui pakar keselamatan siber pihak ketiga.
Perlindungan yang disediakan oleh usahasama itu juga akan meliputi CapCut dan Lemon8 serta portfolio aplikasi dan laman web lain di AS.
Dari segi pemilikan, ByteDance kini memiliki 19.9% pegangan dalam usahasama tersebut. Tiga pelabur pengurusan iaitu Silver Lake, Oracle dan MGX masing-masing memegang 15%, manakala baki selebihnya dimiliki oleh beberapa pelabur lain, termasuk firma pelaburan keluarga Michael Dell.
{suggest}
