Jika ada yang menantikan pelancaran telefon pintar terbaru Mi Mix pada tahun ini, nampaknya anda mungkin perlu menunggu sedikit masa lagi. CEO Xiaomi, Lei Jun mengatakan tiada model terbaru Mi Mix yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Dalam kiriman di Weibo, Lei Jun telah menjawab beberapa persoalan yang kerap ditanya oleh pengguna Xiaomi. Beliau mendedahkan siri Mi Mix akan membawa inovasi baharu yang lebih canggih dan model tersebut dalam usaha untuk dihasilkan. Bagaimanapun, ia akan mengambil sedikit masa untuk diperkenalkan.
Selain Mi Mix, beliau turut menjawab persoalan mengenai Mi Mix Alpha. Lei Jun menjelaskan peranti konsep itu adalah projek penyelidikan dan mereka telah mencapai tujuan.
Dengan cabaran pengeluaran yang terlalu tinggi, Mi Mix Alpha tidak akan dihasilkan secara besar-besaran. Sebaliknya, mereka telah memutuskan untuk menumpukan pembuatan Mi Mix bagi generasi berikutnya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan lebih banyak persoalan yang akan dijawab menerusi acara pelancaran ulangtahun ke-10 Xiaomi pada 11 Ogos nanti.
Sumber: Weibo