Pelampung biru terapung di ombak yang menghentam dermaga di Pelabuhan Los Angeles, diam-diam menukar kuasa laut menjadi elektrik yang boleh digunakan.
Pemasangan inovatif ini mungkin menjadi salah satu kunci untuk mempercepatkan peralihan daripada bahan api fosil, sesuatu yang para saintis katakan perlu dilakukan jika dunia mahu mengelak kesan terburuk perubahan iklim.
“Projek ini sangat mudah dan ringkas,” kata Inna Braverman, pengasas bersama syarikat pemula Israel, Eco Wave Power, kepada AFP.
Kelihatan seakan papan piano, pelampung itu naik dan turun dengan setiap ombak. Ia dihubungkan kepada omboh hidraulik yang menolak cecair boleh terurai melalui paip ke dalam bekas berisi akumulator, menyerupai tangki skuba merah besar.
Apabila tekanan dilepaskan, ia memutar turbin yang menghasilkan arus elektrik.
Jika projek perintis ini meyakinkan pihak berkuasa California, Braverman berharap untuk menutup seluruh benteng sepanjang 13 kilometer yang melindungi pelabuhan itu dengan ratusan pelampung. Bersama-sama, ia mampu menjana elektrik yang mencukupi untuk 60,000 rumah di AS.
Penyokong teknologi ini mengatakan tenaga ombak ialah sumber kuasa yang boleh diperbaharui tanpa henti dan sentiasa boleh diharap.
Berbeza dengan tenaga solar (yang tidak menghasilkan apa-apa pada waktu malam) atau tenaga angin (yang bergantung pada cuaca), laut sentiasa bergerak. Dan jumlahnya sangat banyak.
Teknologi Lasak
Ombak di pesisir Pantai Barat Amerika secara teori boleh menjana tenaga untuk 130 juta rumah — atau kira-kira satu pertiga daripada penggunaan elektrik tahunan di AS, menurut Jabatan Tenaga negara itu.
Namun, tenaga ombak masih menjadi “adik tiri” kepada sumber boleh diperbaharui lain yang lebih popular, dan masih gagal dikomersialkan pada skala besar.
Sejarah sektor ini penuh dengan syarikat yang karam dan projek yang musnah dek keganasan laut. Membangunkan peranti yang cukup lasak untuk bertahan dalam ombak besar, sambil menghantar elektrik melalui kabel bawah laut ke daratan, setakat ini terbukti mustahil.
“99 peratus pesaing memilih untuk pasang di tengah lautan, di mana kosnya sangat mahal, mudah rosak, dan projek tak dapat bertahan lama,” kata Braverman.
Dengan peranti boleh tarik balik yang dipasang di dermaga, beliau percaya sudah menemui jawapan.
“Bila ombak terlalu tinggi, pelampung hanya naik ke posisi atas sampai ribut reda — jadi tiada kerosakan.”
Reka bentuk ini menarik perhatian Krish Thiagarajan Sharman, profesor kejuruteraan mekanikal di Universiti Massachusetts Amherst.
“Tumit Achilles tenaga ombak ialah kos penyelenggaraan dan pemeriksaan,” katanya.
“Jadi kalau ada peranti dekat dengan pantai, di mana kita boleh jalan kaki di atas benteng dan terus periksa, memang sangat masuk akal.”
Sharman, yang tidak terlibat dengan projek ini dan makmalnya sedang menguji pelbagai peralatan tenaga ombak, berkata projek sebegini lebih sesuai untuk permintaan kecil, contohnya menjana tenaga untuk pulau terpencil.
“Benteng sepanjang lapan batu ini bukan sesuatu yang biasa. Ia peluang jarang berlaku, lokasi unik dengan gelombang panjang yang sesuai untuk jana kuasa,” jelasnya.
Permintaan Kuasa Didorong AI

Eco Wave Power sudah pun melihat jauh ke depan, mengenal pasti puluhan lagi lokasi di AS yang berpotensi sesuai untuk projek serupa.
Projek ini sebenarnya bermula sebelum pentadbiran Donald Trump, tetapi walaupun suasana politik di Washington tidak begitu mesra tenaga boleh diperbaharui, syarikat itu memang sejak awal sudah menjangkau ke luar AS.
Menjelang 2026, 1,000 rumah di Porto, Portugal pula bakal menerima manfaat, dengan pemasangan turut dirancang di Taiwan dan India.
Braverman mengimpikan projek berkapasiti 20 megawatt — kapasiti kritikal untuk menawarkan elektrik pada kadar kompetitif dengan tenaga angin.
Dan, katanya, pemasangan ini tidak akan menjejaskan hidupan liar tempatan.
“Tiada kesan alam sekitar langsung. Kami hanya sambung pada struktur buatan manusia yang memang sudah mengubah persekitaran.”
Janji seperti ini sangat memberi kesan di California, di mana Suruhanjaya Tenaga negeri itu baru-baru ini menekankan potensi tenaga ombak untuk membantu mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2045.
“Penggunaan tenaga kita semakin meningkat dengan kebangkitan AI dan pusat data,” kata Jenny Krusoe, pengasas AltaSea, organisasi yang membantu membiayai projek ini.
“Jadi, lebih cepat kita boleh bawa teknologi ini ke sepanjang pantai, lebih baik untuk California.”
{suggest}
Sumber: AFP