Pasti anda pernah melihat filem di mana jenayah dilakukan dari dalam penjara. Rasa macam tidak masuk akal tapi ia benar.
Siapa sangka telefon sekecil pemetik api boleh jadi alat untuk urus jenayah dari balik tembok penjara? Tapi itulah realiti yang sedang berlaku di Perancis, dan pihak berkuasa kini sedang bertindak.
Baru-baru ini, kerajaan Perancis melancarkan satu operasi besar-besaran melibatkan 66 penjara di seluruh negara. Sasaran mereka ialah telefon bimbit mini buatan China yang digunakan secara haram oleh banduan. Saiznya kecil, tetapi fungsinya cukup untuk mengatur urus niaga dadah, penipuan, serangan perniagaan, cubaan membunuh dan juga aktiviti jenayah terancang dari dalam sel.
Operasi yang diberi nama “Prison Break” ini menyasarkan lebih 500 sel penjara dan bertujuan merampas sekitar 5,000 unit telefon yang dipercayai sudah berada dalam negara.

Telefon ini dijual oleh sebuah pembekal tempatan bernama Oportik, yang kini telah disekat selepas domain laman webnya dirampas oleh pihak berkuasa.
Menurut pendakwa Paris, telefon ini dikatakan sukar dikesan oleh sistem keselamatan di penjara kerana saiznya yang sangat kecil. Ia cukup kecil untuk melepasi pemeriksaan dan cukup canggih untuk berfungsi seperti telefon biasa.
Isu keselamatan penjara mula mendapat perhatian serius sejak kes pelarian Mohamed Amra, digelar “The Fly”, tahun lalu. Beliau melarikan diri dalam serangan bersenjata yang mengorbankan dua pegawai penjara. Amra akhirnya ditahan di Romania selepas sembilan bulan dan telah dihantar semula ke Perancis.
Bulan lalu pula, beberapa penjara di Perancis dilaporkan menjadi sasaran dalam siri serangan terancang. Insiden ini melibatkan kereta dibakar, tembakan senjata automatik dan mesej misteri yang ditinggalkan berhampiran lokasi.
Pendakwa percaya ini semua didalangi sindiket pengedaran dadah.

Apa yang sepatutnya menjadi tempat paling ketat kawalan kini berubah menjadi pusat kawalan jenayah dari dalam. Telefon yang nampak tidak berbahaya ini rupa-rupanya telah membuka pintu komunikasi gelap yang menghubungkan dunia luar dengan jeriji besi.
Pihak berkuasa kini dalam usaha memulihkan semula kawalan dan memastikan teknologi seperti ini tidak lagi menjadi senjata diam dalam sistem penjara.
{suggest}
Sumber: AFP