Pada tahun 2019, Motorola mengembalikan nostalgia telefon flip mereka zaman dulu-dulu dengan Motorola Razr. Ia kemudiannya mendapat model kemaskini dan pengganti pada tahun 2020 dikenali sebagai Motorola Razr 5G dengan sokongan 5G serta kamera lebih baik.
Tahun 2021, Motorola senyap sahaja tanpa mengeluarkan model pengganti kepada tahun 2020 Razr 5G.
Namun hari ini, secara mengejut pegawai Lenovo, Chen Jin telah mengesahkan bahawa Motorola Razr generasi ke-3 sedang dibangunkan mereka.
Untuk makluman pembaca, Lenovo adalah pemilik kepada jenama Motorola dan merekalah yang bertanggungjawab mengeluarkan telefon menggunakan jenama klasik itu.
Melalui kiriman Weibo yang dimuatnaik, Chen Jin mengiyakan beberapa perkara pada Motorola Razr 3 seperti:
- Cip lebih berkuasa
- Antaramuka lebih baik
- Rupa lebih dinaik taraf
Nampak samar-samar sahaja dan tiada spesifikasi spesifik yang diceritakan. Contohnya adakah Razr 3 itu akan menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 1 atau tidak.
Tarikh pelancaran pun tidak juga diceritakan. Nampaknya kita tunggu terpaksa menunggu sahajalah bila Motorola mahu buat video atau imej acah memperlihatkan telefon lipat baharu mereka itu.