Teknologi Pengesanan Wajah Bantu Satukan Keluarga Dengan Anak Yang Diculik 32 Tahun Lalu

Teknologi pengesanan wajah semakin luas digunakan dan dalam masa yang sama, ia menimbulkan kebimbangan berkaitan privasi jika disalahgunakan.

China merupakan salah satu negara yang galak menggunakan teknologi ini dan terdapat kisah menarik berlaku baru-baru ini. Seorang pemuda yang terpisah dengan ibu bapa sejak 32 tahun lalu akibat diculik berjaya disatukan kembali.

Pada 1988, Mao Yin pada ketika itu berumur 2 tahun telah diculik diluar sebuah hotel di Xi'an sebelum dijual kepada keluarga angkatnya yang berada di wilayah Sichuan.

Selama tempoh tersebut, ibu bapa pemuda ini berusaha keras untuk mencari beliau dan akhirnya berjaya menemui beliau dengan bantuan teknologi pengesanan wajah daripada polis.

Difahamkan pihak polis mendapat maklumat mengenai penjualan kanak-kanak yang berlaku di wilayah Sichuan pada lewat 1980 an. Pihak berkuasa seterusnya melakukan analisis gambar Mao sewaktu berusia 2 tahun menggunakan teknologi pengesanan wajah bagi mendapatkan simulasi wajah beliau ketika dewasa.

Foto dewasa tersebut kemudiannya dibandingkan dengan pangkalan data dan ia sepadan dengan Mao Yin dan identiti tersebut disahkan melalui ujian DNA.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=13&v=U0aPl8pAOpE&feature=emb_title

Setelah lebih dari 3 dekad terpisah daripada keluarga kandung, Mao Yin disatukan kembali bersama ibu bapanya pada sebuah acara yang disiarkan secara langsung oleh media tempatan.

Sumber: CNN via Ubergizmo