Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Bila Haiwan Tak Mampu Bersuara, Nissan Guna Teknologi EV Untuk Lindungi Mereka Di Jalan Raya

Posted on Mei 13, 2025

Seekor anak gajah mati. Ibunya kembali ke lokasi, berdiri termenung. Di Jepun, angka kematian haiwan lebih tinggi tetapi mereka jawab dengan teknologi.

Pernah tak kita terasa hati tengok gambar haiwan liar mati dilanggar di jalan raya? Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita anak gajah mati dilanggar lori dan yang lebih menyayat hati, ibunya dilihat kembali ke lokasi kejadian.

Kisah ini bukan asing. Malah di negara seperti Jepun, angka kemalangan melibatkan haiwan jauh lebih tinggi daripada yang kita bayangkan.

Lebih 121,000 kes dalam setahun. Tapi bezanya, Jepun tak duduk diam. Mereka cari solusi.

Salah satu teknologi terkini yang sedang mencuri perhatian dunia, ialah “Animalert” oleh Nissan.

Apa itu Animalert?

“Animalert” ialah gabungan dua perkataan: Animal + Alert. Ia merupakan teknologi amaran akustik khas yang dibangunkan oleh Nissan dengan kerjasama beberapa agensi Jepun, termasuk universiti dan kementerian alam sekitar.

Fungsinya?

Kereta yang dilengkapi dengan Animalert akan memancarkan bunyi pada frekuensi khas di mana ia hanya boleh didengar oleh haiwan liar seperti arnab, rusa atau babi hutan. Bunyi ini sangat kuat bagi mereka, seolah-olah satu “jeritan” amaran.

Tujuannya supaya haiwan tidak mendekati jalan raya ketika kenderaan hampir tiba.

Bayangkan macam hon halimunan. Manusia tak dengar, tapi haiwan “terkejut” dan berundur.

Ujian Pertama: Untuk Selamatkan Arnab Terancam

Fasa pertama Animalert sedang diuji di Pulau Amami Oshima & Tokunoshima, iaitu habitat arnab Amami yang terancam. Pada 2023 sahaja, lebih 140 arnab ini mati dilanggar.

Dalam ujian ini, kereta EV Nissan yang bergerak perlahan dipasang peranti khas yang memancarkan bunyi tertentu. Hasilnya? Rakaman video menunjukkan haiwan menjauhkan diri secara semula jadi.

Teknologi ini diinspirasikan daripada sistem “pedestrian alert” dalam kenderaan elektrik (EV) yang digunakan untuk beri amaran kepada pejalan kaki. Cuma kali ini, ia disesuaikan untuk frekuensi pendengaran haiwan.

Mengapa Perlu Teknologi Ini?

Jepun ialah negara yang 70% diliputi hutan. Jalan raya sering melintasi kawasan habitat haiwan. Gabungan populasi haiwan yang meningkat, serta bunyi EV yang senyap, menjadikan risiko perlanggaran semakin tinggi.

Sebagai contoh:

  • Rusa Hokkaido – lebih 4,000 kes perlanggaran dilaporkan pada 2023.
  • Tanuki, burung, anjing dan kucing – antara yang paling kerap jadi mangsa.

Dengan lebih 121,000 haiwan mati setiap tahun di jalan Jepun, usaha seperti Animalert dianggap sebagai langkah penting dalam menyelamatkan biodiversiti.

Jepun Ada Banyak Usaha Untuk Konflik Manusia dan Alam

Selain Animalert, Jepun juga menggunakan pelbagai teknologi dan pendekatan lain:

  • Jejantas dan terowong bawah tanah khas untuk haiwan
  • Pagar & pengesan sensor LED yang beri amaran kepada pemandu
  • Rakaman bunyi ‘snort’ atau ‘anjing menyalak’ dipasang pada tren untuk halau rusa

Semua ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk hidup berdampingan dengan alam sekitar walaupun di tengah kemajuan pesat.

Relevan Untuk Malaysia?

Jadi, berbalik kepada negara kita, adakah relevan untuk Malaysia? Jawapannya adalah sangat relevan.

Malaysia turut berdepan isu yang sama, iaitu dari tapir dan gajah di Pahang, hingga ke harimau akar dan beruang di hutan tropika kita.

Dengan peningkatan penggunaan EV, ada ruang untuk kita terokai teknologi seperti Animalert, terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti Lebuhraya Timur–Barat (Gerik–Jeli) atau Lebuhraya Karak.

Apa yang diperlukan hanyalah:

  • Data lokasi kemalangan haiwan
  • Kerjasama antara kerajaan, syarikat kereta & NGO
  • Ujian lapangan kecil untuk spesies tempatan

Teknologi Tak Perlu Bunuh Alam

Sebenarnya, kemalangan melibatkan haiwan liar bukanlah baharu di Malaysia. Sejak tahun lalu, semakin banyak harimau di negara kita mati dilanggar. Sudahlah populasi semakin sedikit, dilanggar pula kenderaan yang laju di jalan raya.

Peristiwa ibu gajah dengan anaknya menjentik hati dan membuka mata ramai pihak. Apabila ia sudah melarat, barulah beberapa pihak tergesa-gesa untuk membuat tindakan atau “action”.

Inisiatif seperti Animalert membuktikan bahawa teknologi bukan sekadar untuk manusia tetapi ia boleh jadi penyelamat kepada alam.

Kalau Jepun boleh buat, kenapa tidak kita?

Negara kita mampu untuk melakukannya. Lebih-lebih lagi EV pertama Perodua bakal tiba tahun ini. Tidak mustahil satu hari nanti ia boleh direalisasikan pada model akan datang.

Apa gunanya ungkapan “mencegah lebih baik daripada merawat” di mana ia hanyalah ungkapan semata-mata. Lebih banyak merawat daripada mencegah.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress