Teknologi Bantu Proses E-Pembelajaran Berlangsung Dengan Baik

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin berkembang, e-pembelajaran menjadi semakin popular di kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Pelbagai kemudahan dan cara pembelajaran atas talian diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada pelajar.

E-pembelajaran adalah satu proses pembelajaran yang menggunakan komponen elektronik bagi mempelbagaikan penggunaan teknologi yang semakin canggih. Ini semua bertujuan untuk meningkatkan keboleh capaian dan keberkesanan pembelajaran.



Secara dasarnya, e-pembelajaran melibatkan penggunaan komputer, namun kini dengan kemudahan yang pelbagai, pelajar sudah boleh mengakses melalui telefon pintar mereka.

Dengan adanya pelbagai ciri menarik di dalam telefon pintar di pasaran, pelajar boleh manfaatkan lagi sistem e-pembelajaran yang canggih tanpa mengira masa dan jarak untuk melayarinya. Secara tidak langsung, boleh dikatakan bahawa teknologi masa kini menjadi salah satu penyumbang kepada sistem pelajaran di Malaysia.

Teknologi yang makin berkembang kini membolehkan pembelajaran dilaksanakan dalam kaedah yang lebih menarik. Misalnya, penyerapan sesuatu pengetahuan itu dikatakan lebih berkesan apabila ia mengandungi animasi, grafik, audio dan video.



Perbincangan atas talian memudahkan beberapa pihak seperti pelajar dan pensyarah untuk terus berhubung dan berbincang mengenai apa sahaja bahan kajian mahupun pelajaran.

Teknologi sesungguhnya mampu mengubah tanggapan negatif sesetengah pihak yang beranggapan pembelajaran atas talian ini kurang memberi impak.

Namun, demi mengikut arus zaman semasa yang memerlukan penggunaan internet di mana-mana ini, ia seharusnya dipraktikkan supaya proses pembelajaran akan dapat berlangsung sepanjang masa.