Technics Lancar Dua TWS Baharu, Ada LDAC Dan Harga Bermula RM649

Technics hari ini melancarkan dua model TWS terbaharu mereka EAH-AZ60 dan EAH-AZ40 yang mana menawarkan pengalaman bunyi dan panggilan yang baik.

Menerusi model EAH-AZ60, TWS ini tampil dengan pemacu 8mm. Sementara EAH-AZ40 pula pemacu dinamik 6mm. Kelebihan yang ada pada AZ60 adalah ia menyokong kualiti audio resolusi tinggi dengan format LDAC dimana kebiasaannya hanya terdapat dalam TWS Sony.



Selain itu, AZ60 juga hadir dengan pembatalan hingar DwiHibrid Technics. Ia juga hadir dengan mod semula jadi atau perhatian. Mod semula jadi membenarkan pengguna dengar bunyi persekitaran. Sementara mod perhatian pula memastikan suara manusia berhampiran mudah untuk didengari.



Kedua-dua TWS ini dilengkapi dengan teknologi JustMyVoice™ dimana ia menjanjikan kualiti panggilan cemerlang kepada pengguna. AZ60 dimuatkan dengan 8 mikrofon dan AZ40 pula 6 mikrofon. Tambahan lagi, masing-masing juga mempunyai teknologi untuk mengurangkan bunyi angin.

Di samping itu, pengguna boleh membawanya untuk pergi bersenam dan sebagainya kerana adanya perlindungan IPX4.



Dari segi ketahanan penggunaan, EAH-AZ60 boleh digunakan sehingga 7 jam dan 24 jam dengan bekas simpanan. Manakala EAH-AZ40 sehingga 7.5 jam dan 25 jam dengan bekas simpanan.

TWS EAH-AZ60 ditawarkan dalam pilihan warna hitam dan perak. Sementara EAH-AZ40 adalah emas ros, hitam dan perak.

Harga diletakkan bagi EAH-AZ60 adalah RM1049 dan RM649 untuk EAH-AZ40. Jika anda berminat, pra-pesanan bermula 30 September hingga 15 Oktober 2021 melalui kedai rasmi Panasonic Malaysia di Lazada dan Shopee.

Sumber: Siaran Akhbar Technics

Baca juga: