Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Tarikan Dan Cabaran Bina Pusat Data Di Angkasa, Ini Yang Anda Perlu Tahu

Posted on Februari 4, 2026Februari 4, 2026

Syarikat teknologi kini mengemukakan idea membina pusat data di angkasa lepas dan memanfaatkan tenaga matahari bagi memenuhi keperluan tenaga yang luar biasa dalam persaingan sengit kecerdasan buatan (AI).

Keputusan Elon Musk untuk membolehkan syarikat roketnya, SpaceX, mengambil alih syarikat AI miliknya, xAI, telah menyemarakkan lagi perdebatan sama ada pusat data yang mengorbit Bumi itu realistik atau sekadar idea yang tidak masuk akal.

Siapakah pemainnya?

SpaceX telah menetapkan rentak dalam pasaran pelancaran roket, dan Musk sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk menempatkan pusat data di angkasa.

Syarikat kereta elektrik Tesla yang turut diterajui Musk juga sedang membangunkan robot humanoid, yang berpotensi menjadi tenaga kerja serta pasukan penyelenggaraan di angkasa lepas.

Syarikat pemula (startup) Amerika Syarikat, Starcloud, pada akhir tahun lalu menghantar sebuah satelit sebesar peti sejuk yang mengandungi unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia ke orbit, dalam apa yang digambarkan oleh pengeluar cip AI itu sebagai “debut kosmik” bagi pusat data mini.

Sementara itu, gergasi teknologi Google telah mengumumkan rancangan untuk melancarkan satelit ujian menjelang awal 2027 menerusi projek Suncatcher, yang bertujuan membina pusat data berkuasa solar di angkasa.

Blue Origin, syarikat roket dan satelit yang diasaskan oleh pengasas Amazon, Jeff Bezos, pula mempromosikan rangkaian berkelajuan tinggi berasaskan angkasa, TeraWave, yang boleh digunakan oleh pusat data untuk memindahkan maklumat ke mana-mana lokasi di seluruh dunia.

Lebih sedozen syarikat pemula, peneraju aeroangkasa dan firma teknologi utama terlibat dalam pembangunan, ujian atau perancangan pusat data berasaskan angkasa lepas.

Mengapa ke angkasa?

Tarikan utama angkasa lepas untuk pusat data ialah bekalan tenaga, dengan keupayaan menyelaraskan satelit mengikut orbit matahari bagi memastikan cahaya berterusan dipancarkan ke panel solar.

Pembinaan di angkasa juga mengelakkan cabaran mendapatkan tanah serta keperluan mematuhi peraturan tempatan atau bantahan komuniti terhadap projek di Bumi.

Penyokong idea ini turut berhujah bahawa pusat data yang beroperasi di angkasa akan memberi kesan keseluruhan yang lebih kecil terhadap alam sekitar, selain pencemaran yang dihasilkan oleh pelancaran roket.

“Ideanya ialah tidak lama lagi, membina pusat data di angkasa akan jauh lebih masuk akal berbanding membinanya di Bumi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Starcloud, Philip Johnston, pada satu persidangan teknologi tahun lalu.

Projek semasa membayangkan penggunaan kelompok satelit orbit rendah Bumi (LEO) yang ditempatkan cukup rapat bagi memastikan sambungan tanpa wayar yang boleh dipercayai.

Laser pula akan digunakan untuk menghubungkan komputer di angkasa dengan sistem di Bumi.

Apa yang boleh menjadi masalah?

Salah satu halangan utama untuk menempatkan pelayan di angkasa ialah kos untuk menghantarnya ke orbit.

Namun, roket mega boleh guna semula SpaceX yang dikenali sebagai Starship, dengan keupayaan membawa muatan besar, dijangka dapat mengurangkan kos pelancaran secara ketara.

Walau bagaimanapun, aspek teknikal kritikal masih perlu diselesaikan, khususnya kerosakan pada pusat data yang mengorbit akibat tahap radiasi tinggi dan suhu ekstrem, serta risiko dilanggar serpihan angkasa.

Satu lagi persoalan ialah bagaimana peralatan yang rosak atau gagal berfungsi boleh dibaiki secara ekonomi.

Phillip Metzger, profesor dalam Jabatan Fizik Universiti Florida dan bekas saintis NASA, berhujah dalam satu hantaran dalam talian baru-baru ini bahawa penyelenggaraan pusat data di orbit boleh diuruskan melalui penggunaan robot dan komponen modular kecil yang mudah diganti.

“Banyak keraguan terhadap pusat data di angkasa mungkin berpunca daripada kegagalan mengambil kira kesan pertumbuhan eksponen,” kata Metzger dalam satu hantaran terkini di platform X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

“Jika AI tidak berkembang secara eksponen, maka saya tidak fikir dalam masa terdekat ia masuk akal untuk ditempatkan di angkasa; tetapi saya percaya ia akan berkembang secara eksponen.”

– AFP.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress