Taman Tema Genting SkyWorlds Dibuka Secara Rasmi Hari Ini

Penantian sudah berakhir, setelah sekian lama akhirnya Taman Tema Genting SkyWorlds dibuka secara rasmi mulai hari ini kepada orang ramai.

Selain itu, bersempena pra-pelancarannya, diskaun sebanyak 20% ditawarkan buat pengunjung bermula 8 Februari hingga 31 Mac 2022.

Taman Tema ini pada asalnya adalah bertemakan 20th Century Fox. Bagaimanapun, segalanya berubah setelah syarikat Twenty-First Century Fox Group diambil-alih oleh syarikat The Walt Disney Co pada tahun 2018.

Namun, tidak mengapa kerana beberapa hak harta intelek kepunyaan Fox seperti Ice Age, Night at The Museum, Planet of the Apes serta lain-lain masih lagi dilesenkan kepada GenM.



Taman Tema Genting SkyWorlds mempunyai keluasan 26 ekar. Ia meliputi 26 permainan yang boleh dinaiki dan mampu memuatkan seramai 20,000 pengunjung. Akan tetapi, disebabkan pandemik, hanya 50% sahaja yang dibenarkan masuk.

Bagi memudahkan, setiap pengunjung disarankan untuk memuat turun aplikasi Genting SkyWorlds Theme Park di Google Play, App Store dan Huawei AppGallery.



Aplikasi tersebut akan memudahkan anda untuk mendapatkan maklumat berkaitan taman tema ini, menyemak masa menunggu, menikmati pengalaman di taman tema itu secara maya dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, terdapat juga teknologi barisan giliran maya atau Virtual Que (VQ) yang mana pengunjung boleh beratur untuk naik sesebuah permainan tanpa perlu menunggu secara fizikal.

Dari segi harga, RM128 dikenakan untuk satu hari bagi golongan kelainan upaya/warga emas/kanak-kanak (90cm-110cm). Manakala RM151 bagi dewasa yang melebihi ketinggian 110cm.

Sumber: TheEdgeMarkets, ResortWorldGenting

Baca juga:

 

Berkaitan