Buat pelanggan Maybank, tahukah anda bahawa sebenarnya anda masih boleh keluarkan duit di ATM tanpa menggunakan kad?
Dengar macam tak logik, tapi caranya mudah sahaja. Yang penting, pastikan anda sudah mempunyai aplikasi Maybank2U di telefon pintar anda dan sudah berada di depan mesin ATM Maybank.
Aplikasi Maybank2U
Pertama, log masuk ke aplikasi Maybank2U dan pergi ke “Mobile”. Kemudian, klik “Cardless ATM Withdrawal”. Setelah itu, pilih akaun yang anda ingin melakukan pengeluaran duit.
Ketiga, isikan nombor telefon dan nama anda. Jika anda ingin membuat pengeluaran untuk orang lain seperti anak atau ibu bapa, anda boleh isikan butiran mereka. Hanya pastikan mereka juga sudah berada di depan mesin ATM Maybank untuk menjalankan transaksi. Jika untuk diri sendiri, teruskan mengisi butiran anda sendiri.
Seterusnya, anda diberi tiga pilihan amaun untuk dikeluarkan – RM100, RM200, atau RM300. Pilih satu amaun.
Kelima, sahkan butiran yang dimasukkan dan masukkan nombor TAC.
Nama penerima yang dimasukkan tadi akan menerima kod pengeluaran melalui SMS. Penerima juga akan menerima ID transaksi melalui SMS dan pengeluaran wang mesti ditunaikan di mesin ATM Maybank di Malaysia dalam tempoh 48 jam.
Pengeluaran di mesin ATM Maybank
Untuk mengaktifkan menu mesin ATM, seperti biasa, sentuh skrin atau tekan pad kekunci. Pilih bahasa dan kemudian pilih Pengeluaran Tanpa Kad atau “Cardless Withdrawal” dari Menu Utama.
Seterusnya, penerima perlu memasukkan ID transaksi berupa 16 hingga 17 digit yang diterima melalui SMS. ID transaksi ini terdiri daripada 6 digit ID transaksi diikuti dengan 10 hingga 11 digit nombor mudah alih penerima.
Kemudian, masukkan kod pengeluaran 6 digit yang diterima melalui SMS untuk membenarkan transaksi.
Akhir sekali, wang tunai akan dikeluarkan apabila ID transaksi dan kod perngeluaran berjaya disahkan. Slip ATM juga akan dikeluarkan bersama butiran transaksi.
Tahniah, hidup anda kini lebih mudah dengan perkhidmatan pengeluaran duit di ATM tanpa menggunakan kad.
Sumber: Maybank2U, FB Azlan Salim
Baca juga: