Tahun Lalu Google Play Protect Menyekat Lebih Daripada 1.9 Bilion Perisian Hasad Yang Bukan Dari Sumber Google Play

Lebih daripada 100 bilion aplikasi diimbas oleh Google Play Protect setiap hari.


Pengurus Produk Google Play + Android App Safety, Andrew Ahn hari ini menerbitkan laporan berjudul "How we fought bad apps and malicious developers in 2019".

Dalam laporan itu Google memaklumkan bahawa mereka secara berterusan berusaha meningkatkan keselamatan pengguna peranti Android.

Khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga dengan meningkatkan polisi serta proses pengesahan aplikasi yang lebih ketat terhadap pembangun.

Tidak sekadar itu, Google juga telah berkolaborasi dengan 3 firma keselamatan utama iaitu ESET, Lookout dan Zimperium dalam usaha mereka bagi meningkatkan lagi keselamatan Google Play Store.

Gabungan yang dikenali sebagai App Defense Alliance itu adalah bagi menghalang aplikasi-aplikasi Android meragukan yang ditawarkan di dalam Google Play Store dari terlepas dimuat turun oleh pengguna peranti Android.

Usaha berterusan itu telah berjaya menyekat lebih daripada 790,000 aplikasi daripada diterima masuk ke dalam Play Store kerana didapati melanggar polisi yang ditetapkan Google.

Malah berpuluh ribu aplikasi juga telah dibuang dari Play Store selepas diperketatkan polisi aplikasi terhadap akses SMS dan log panggilan.

Google juga memaklumkan, menerusi Google Play Protect yang ditambah baik, mereka kini mampu mengimbas lebih daripada 100 bilion aplikasi setiap hari.

Malah menerusi Play Protect juga, Google telah berjaya menyekat lebih daripada 1.9 bilion perisian hasad yang bukan bersumber dari Google Play dari menjangkiti pengguna peranti Android.

Sungguhpun usaha yang berterusan itu dilaksanakan bagi melindungi keselamatan data dan privasi pengguna, Google sedar masih terdapat insiden penggodaman berlaku ke atas pengguna Android.

Oleh itu, Google menyatakan bahawa mereka akan meneruskan komitmen mereka sepanjang tahun 2020 ini bagi menambah baik keselamatan aplikasi-aplikasi yang ditawarkan mereka.

"Our teams of passionate product managers, engineers, policy experts, and operations leaders will continue to work with the developer community to accelerate the pace of innovation, and deliver a safer app store to billions of Android users worldwide." Andrew Ahn, Pengurus Produk Google Play + Android App Safety.

Berkaitan