Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Sweden Rancang Larang Telefon Bimbit Di Sekolah

Sweden Rancang Larang Telefon Bimbit Di Sekolah

Diterbitkan Januari 29, 2026 oleh ariff bukhari

Sweden merancang untuk melarang penggunaan telefon bimbit di sekolah rendah dan menengah bagi memastikan pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran di dalam bilik darjah, menurut kenyataan kerajaan pada Rabu.

Larangan itu bermakna murid sehingga tingkatan sembilan, atau berusia sekitar 15 hingga 16 tahun, perlu menyerahkan telefon mereka pada waktu pagi dan hanya akan mendapatkannya semula pada akhir hari persekolahan.

“Kajian menunjukkan pelajar Sweden lebih terganggu oleh penggunaan alat digital di dalam kelas berbanding purata pelajar di negara OECD,” kata kerajaan dalam satu kenyataan.

“Oleh itu, kerajaan mencadangkan larangan telefon bimbit sepanjang hari persekolahan.”

Menurut agensi berita Sweden TT, kira-kira 80 peratus sekolah rendah dan menengah di negara itu sudah pun melaksanakan larangan telefon bimbit di dalam kelas, berdasarkan budi bicara pengetua masing-masing.

Namun, Menteri Pendidikan Simona Mohamsson berkata dalam sidang media bahawa larangan di peringkat nasional diperlukan bagi memastikan semua sekolah menjadi zon bebas telefon bimbit.

“Ia akan mengurangkan gangguan dalam bilik darjah,” katanya, sambil menyifatkannya sebagai “kemenangan untuk pengajaran dan juga kesihatan mental”.

Beliau menambah larangan itu juga boleh “membantu ramai ibu bapa dalam usaha mereka di rumah” untuk mengurangkan masa skrin anak-anak.

Mohamsson berkata data menunjukkan pelajar sekolah menengah di Sweden menghabiskan purata hampir tujuh jam sehari di hadapan skrin, tidak termasuk penggunaan skrin semasa waktu sekolah.

Jika diluluskan oleh parlimen, larangan itu akan berkuat kuasa bermula sesi persekolahan musim luruh pada Ogos 2026, dan turut terpakai kepada pusat jagaan selepas sekolah.

Negara Scandinavia itu melancarkan strategi nasional “pendigitalan” untuk tadika, sekolah rendah dan menengah pada 2017, yang menyaksikan tablet dan komputer riba menggantikan banyak buku teks serta penulisan tangan.

Namun, dasar tersebut mula ditarik balik pada 2023 susulan kritikan terhadap kemerosotan prestasi akademik pelajar. – AFP.

Berkaitan

  • Nak Rumah Selamat, Privasi Terjaga 24/7? Unifi Ada Penyelesaian Pintar
  • Inilah Kasut Sekolah Paling Inovatif Buatan Malaysia, Terbina Ruang GPS
  • Cara Bersihkan Storan Telefon Android Yang Sudah Penuh

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Syarikat Minyak UAE, ADNOC Jalin Kerjasama Dengan OpenAI Untuk Guna AI Dalam Operasi
  • Rembayung Kini Guna Grab Untuk Tempahan, Satu 'Booking' Setiap Dua Minggu
  • Korea Selatan Bakal Gandakan Perbelanjaan AI Dan Cip Pada 2027
  • HONOR Pad X7b Kini Di Malaysia Dari RM699, Dua Earbuds Baharu Bermula RM59
  • Epson Lancar SureColor SC-F330, Pencetak Sublimasi Desktop A3 Pertamanya
  • Google Peruntuk AS$160 Juta Untuk Infrastruktur Air Sokong Pusat Data Di Negeri Sembilan
  • 25,000 Lesen Pas Pembelajaran Global Kohort 2 Dibuka 16 November - Pemohon Senarai Menunggu Diutamakan
  • Claude Code Tak Boleh Lagi Klon Game Orang Lain, Walaupun Ditukar Nama
©2026 WISER.MY