Super Dron Dengan Teknologi Kecerdasan Buatan Bakal Diperkenalkan Di Malaysia

Usaha sama antara syarikat tempatan dan syarikat dari China.


Sebuah syarikat tempatan, EastCap Berhad dijangka akan akan memperkenalkan Super Dron dengan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari berkata, Super Dron yang bakal diperkenalkan itu adalah hasil usaha sama dengan dua syarikat dari China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited.

Katanya, usaha itu adalah satu kerjasama strategik antara syarikat tempatan dengan dua syarikat gergasi terbabit bagi memasar, menjalankan operasi dan perkhidmatan serta penyelenggaraan super dron itu di negara ini.

Kereta terbang yang bakal diperkenalkan itu boleh digunakan untuk kegunaan pemantauan sempadan oleh pihak berkuasa, pelancongan, bantuan kecemasan, perubatan dan perladangan di Malaysia.

Malah ia juga sesuai untuk digunakan oleh pihak berkuasa dalam membuat pemantauan keselamatan di kawasan sempadan negara seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

https://www.youtube.com/watch?v=InykqrcXWBY

Datuk Seri Zakwanhafiz berkata, pengenalan super dron di negara ini bukan untuk kegunaan pengangkutan awam, sebaliknya ia dicadangkan kepada pihak berkepentingan khususnya kerajaan dan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain pihak berkuasa, katanya, bagi pemangkin kepada pelancongan negara, ia juga boleh digunakan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk kegunaan di gugusan pulau pelancongan.

Katanya, super dron itu boleh membawa penumpang antara pulau-pulau pelancongan dengan kos serendah RM80 untuk satu perjalanan.

Beliau juga memaklumkan, mereka bercadang untuk membina kilang pemasangan super dron berkenaan di Malaysia dengan kadar pengeluaran 10,000 unit setahun, jika kerajaan memberikan insentif dan tawaran yang menarik untuk mereka.

Super dron yang diperkenalkan ini berupaya melakukan penerbangan pada ketinggian 300 meter serta mampu mencapai kelajuan maksimum 130 kilometer (km) sejam. Bagi kapasiti baterinya pula, ia mampu bertahan bagi operasi sejauh 110 kilometer.

Super dron ini didakwa berupaya membawa dua orang penumpang dengan maksimum kapasiti 600 kilogram pada  satu-satu masa.

Sumber: Berita Harian