Studio Animasi Jepun Bersatu Menubuhkan Saluran YouTube Anime Percuma

Syarikat-syarikat produksi animasi terkenal Jepun dilaporkan telah bersetuju untuk bersama menubuhkan saluran YouTube percuma mereka sendiri.

Produksi-produksi besar anime seperti Toei Animation, Kodansha dan lain-lain mensasarkan untuk menyatukan 30 syarikat animasi yang akan menyumbangkan lebih daripada 3,000 judul anime menjelang tahun 2022 nanti.

Dari jumlah kandungan itu, mereka mensasarkan untuk mempunyai lebih daripada 300 juta tontonan sebulan.

Saluran YouTube yang dikenali sebagai Animelog atau Anilog itu adalah hasil daripada usaha syarikat Analyzelog.

Saluran tersebut telah pun dilancarkan secara rasmi pada minggu lalu.

https://www.youtube.com/watch?v=q5ldDep51ug

Untuk permulaan, mereka akan memfokuskan penonton di dalam negara Jepun dahulu. Tetapi mereka turut merancang untuk menyediakan kandungan anime dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris dan China untuk peminat luar dari negara Jepun.

Sebelum ini telah dilaporkan bahawa laman-laman sesawang yang menawarkan tontonan anime secara haram telah pun diambil tindakan.

Laman popular seperti KissAnime dan KissManga dilaporkan telah ditutup operasi sepenuhnya daripada menyediakan servis penstriman anime secara tidak sah kepada para peminat anime.

Sumber: Variety