Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam pemantauan mereka di tapak Chernobyl mendedahkan penilaian terhadapat struktur New Safe Confinement (NSC) yang rosak akibat serangan dron Februari lalu telah menyebabkan kubah pelindung di tapak loji nuklear tersebut kehilangan fungsi keselamatan utamanya, walaupun rangka sokongan masih utuh.
Ekoran itu, IAEA menegaskan keperluan pembaikan segera termasuk kawalan kelembapan, pemantauan kakisan dan sistem automatik baharu.
Bencana Chernobyl yang berlaku pada 26 April 1986 di loji kuasa nuklear Chernobyl, Ukraine (ketika itu Soviet Union) merupakan tragedi nuklear terburuk yang pernah berlaku.
Bencana ini berlaku apabila reaktor Nombor Empat di Loji Kuasa Nuklear Chernobyl mengalami kehilangan kawalan apabila juruteknik di reaktor itu mencuba eksperimen dengan menutup sistem pengawalan kuasa reaktor dan sistem keselamatan kecemasan, serta mereka menarik balik kebanyakan rod kawalan dari terasnya sambil membenarkan reaktor terus beroperasi pada kuasa 7 peratus.
Kesilapan ini diperburukkan lagi oleh kesilapan lain, dan pada jam 1:23 pagi pada 26 April, tindak balas berantai dalam teras menjadi tidak terkawal mengakibatkan beberapa letupan sehingga mencetuskan bola api besar dan menumpahkan penutup keluli berat serta konkrit reaktor.
Akibat kejadian ini dengan kebakaran serta lebur teras yang berlaku dalam teras grafit reaktor, ia telah melepaskan sejumlah besar bahan radioaktif ke atmosfera, yang dibawa jauh oleh arus udara.
Oleh kerana langkah keselamatan diabaikan, bahan api uranium dalam reaktor menjadi terlalu panas dan cair melalui penghalang pelindung.
Kesan radiasi dari loji tersebut telah merebak ke Belarus, Rusia, hingga ke Eropah Barat dengan ribuan kes penyakit radiasi dan kanser dalam jangka panjang.
Loji Chernobyl telah ditutup sepenuhnya pada tahun 2000, tetapi kesannya terhadap manusia dan alam sekitar kekal hingga kini.
{suggest}
