Agensi antirasuah Malaysia memaklumkan pada Rabu bahawa ia sedang menyiasat dakwaan salah guna kuasa, penipuan dan isu tadbir urus berkaitan perjanjian bernilai RM1.11 bilion (AS$280 juta) antara kerajaan Malaysia dan gergasi cip Britain, Arm Holdings.
Malaysia yang merupakan antara pengeksport cip utama dunia, menandatangani perjanjian dengan syarikat berkenaan pada Mac tahun lalu bagi meningkatkan pengeluaran semikonduktor berteknologi tinggi ketika perang perdagangan teknologi antara Amerika Syarikat dan China menggoncang pasaran global.
“Kami telah memanggil seramai 12 saksi setakat ini daripada pelbagai agensi kerajaan, khususnya Kementerian Ekonomi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Kementerian Perdagangan dan beberapa agensi lain,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Menurut beliau, seorang bekas menteri turut dipanggil untuk memberi keterangan, namun enggan mendedahkan identitinya.
Rafizi Ramli merupakan Menteri Ekonomi ketika perjanjian dimeterai, manakala Tengku Zafrul Aziz memegang portfolio Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Malaysia merupakan pemain penting dalam sektor cip global, namun sebelum ini lebih tertumpu kepada perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian — iaitu segmen bernilai lebih rendah dalam rantaian industri.
Perjanjian dengan Arm Holdings yang dimiliki oleh SoftBank Group itu akan menyaksikan syarikat berkenaan menyediakan reka bentuk cip dan teknologi lain kepada Malaysia, sekali gus membantu negara beralih kepada pengeluaran bernilai tambah lebih tinggi seperti fabrikasi wafer dan reka bentuk litar bersepadu.
Malaysia sebelum ini menyatakan ia akan membayar AS$250 juta dalam tempoh sedekad bagi mendapatkan sokongan daripada syarikat Britain tersebut.
“Kami akan menyiasat perkara ini secara adil dan profesional,” kata Azam, sambil menambah lebih ramai saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Eksport semikonduktor Malaysia dianggarkan bernilai RM387.98 bilion (AS$87.48 bilion) pada 2024, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, sekali gus meletakkan negara dalam kalangan 10 pengeksport cip teratas dunia.
Pulau Pinang di utara Malaysia, yang menempatkan pelbagai kemudahan industri, sering digelar sebagai Lembah Silikon negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada April 2024 turut mengumumkan rancangan membina taman reka bentuk semikonduktor berskala besar sebagai usaha mengembangkan peranan Malaysia melangkaui pengeluaran cip semata-mata. – AFP.
{suggest}
