Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY
spacex, afp

SpaceX Ambil Alih xAI, Musk Sasar Pusat Data Berasaskan Satelit

Posted on Februari 3, 2026

Elon Musk menggabungkan syarikat kecerdasan buatan miliknya, xAI, ke dalam SpaceX dalam satu penggabungan strategik yang bertujuan membangunkan pusat data berasaskan angkasa, menurut kenyataan pada Isnin.

Pengambilalihan itu menggabungkan keupayaan pelancaran roket SpaceX dengan teknologi AI xAI, sekali gus mewujudkan apa yang disifatkan Musk sebagai “enjin inovasi bersepadu menegak paling bercita-cita tinggi di Bumi dan luar Bumi”.

Langkah ini dibuat ketika pembiayaan besar-besaran bagi pembangunan AI oleh syarikat teknologi utama mula menunjukkan tanda-tanda tekanan, khususnya dari segi kos tenaga dan infrastruktur.

Menurut Musk, SpaceX merancang melancarkan satu konstelasi satelit yang berfungsi sebagai pusat data di orbit, memanfaatkan tenaga solar di angkasa bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat untuk pengkomputeran AI.

Beliau berkata keperluan tersebut tidak dapat dipenuhi di Bumi “tanpa memberi kesan kepada komuniti dan alam sekitar”.

“Dengan memanfaatkan tenaga solar yang hampir berterusan serta kos operasi dan penyelenggaraan yang rendah, satelit ini akan mengubah keupayaan kita untuk meningkatkan skala pengkomputeran,” kata Musk.

SpaceX menyasarkan untuk melancarkan sehingga satu juta satelit yang berfungsi sebagai pusat data menggunakan roket Starship, dengan kadar pelancaran sehingga satu penerbangan sejam dan membawa muatan sehingga 200 tan bagi setiap pelancaran.

Pengumuman itu tidak mendedahkan nilai kewangan penggabungan tersebut atau garis masa bagi pelancaran awal satelit pusat data berkenaan.

Menurut laporan Bloomberg, syarikat gabungan itu dianggarkan mempunyai penilaian sekitar AS$1.25 trilion.

Perjanjian ini mengukuhkan lagi jaringan empayar perniagaan Musk yang sedia ada, termasuk pengeluar kenderaan elektrik Tesla dan platform media sosial X.

Musk sebelum ini menggabungkan X dengan xAI selepas mengambil alih Twitter pada penghujung 2022. xAI, yang mengendalikan chatbot Grok, dinilai sekitar AS$230 bilion dalam pusingan pembiayaan pada Januari lalu.

Penggabungan ini membolehkan pengumpulan modal, sumber pengkomputeran dan bakat teknikal ketika Musk meneruskan visinya untuk meletakkan pusat data AI di angkasa.

SpaceX dilaporkan menyasarkan tawaran awam permulaan sekitar pertengahan Jun yang berpotensi mengumpul sehingga AS$50 bilion, menurut media Amerika Syarikat.

Syarikat itu kini mendominasi pasaran pelancaran angkasa lepas dengan roket boleh guna semula dan mengendalikan konstelasi satelit terbesar dunia melalui perkhidmatan Starlink.

Sebelum ini, Musk menentang penyenaraian awam SpaceX kerana tidak gemar dengan tahap penelitian yang dihadapi oleh syarikat tersenarai seperti Tesla. Beliau juga berpendapat fokus pasaran terhadap pulangan kewangan bercanggah dengan matlamat jangka panjangnya untuk menempatkan manusia di Marikh.

Namun, keutamaan terbaharu SpaceX memerlukan pelaburan besar, termasuk pembangunan Starship, roket terbesar pernah dibina, bagi misi ke Bulan dan Marikh. – AFP

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress