Sony baru sahaja mengesahkan bahawa konsol ikonik mereka, PlayStation 2 (PS2), telah mencapai angka jualan lebih 160 juta unit di seluruh dunia sejak pelancarannya pada tahun 2000. Walaupun sudah lebih sedekad dihentikan pengeluarannya, PS2 terus memegang gelaran sebagai konsol permainan video paling laris dalam sejarah.
Dilancarkan pada tahun 2000 sebagai pengganti PlayStation asal, PS2 menjadi fenomena. Ia bukan sahaja menyokong permainan generasi baharu dengan grafik dan prestasi yang jauh lebih baik, malah menawarkan keserasian permainan terdahulu (backward compatibility), alat kawalan, dan kad memori PS1.
Dikuasakan cip Emotion Engine hasil kerjasama Sony dan Toshiba, PS2 turut dianggap sebagai pemain DVD mampu milik ketika itu, dengan harga pelancaran sebanyak USD299. Pada tahun 2004, Sony memperkenalkan versi PS2 Slim yang lebih nipis dan ringan.
Setakat ini, Sony mengesahkan bahawa jualan PS2 telah meningkat daripada 158.3 juta unit kepada 160 juta unit, termasuk varian PS2 Slim. Angka ini mewakili jumlah unit yang terjual sepanjang tempoh hayat PS2, dari tahun 2000 hingga penghentian pengeluarannya pada 2013, tahun yang sama PS4 dilancarkan.
PS2 juga merupakan platform untuk lebih 4,000 judul permainan, termasuk francais terkenal seperti God of War dan Ratchet & Clank yang masih popular hingga kini.
Walaupun PS2 masih memegang takhta sebagai konsol terlaris, Nintendo Switch kini berada di kedudukan kedua dengan jualan sebanyak 146 juta unit sejak pelancarannya pada 2017. Dengan varian seperti Switch Lite dan OLED, serta khabar angin mengenai pengganti Switch, Nintendo mungkin mampu mengatasi rekod PS2 dalam masa terdekat.
Walaupun PS2 telah dihentikan, warisannya tetap hidup melalui permainan yang direka semula seperti Silent Hill 2 untuk PS5. Konsol ini terus menjadi simbol era keemasan permainan video dan kekal di hati pemain di seluruh dunia.
{suggest}
Sumber: Gamerant