SKMM Dalam Perancangan Menggunakan ID Digital Di Malaysia

ID Digital akan menjadi alat pada masa akan datang untuk memantau kegiatan atas talian dan membasmi akaun digital palsu dengan berkesan.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memaklumkan bahawa mereka dalam perancangan bagi menguatkuasakan penggunaan ID digital.

Ia dimaklumkan sendiri oleh pengerusinya, Al-Ishsal Ishak hari ini kepada wartawan susulan daripada kontroversi penyebaran video seks yang mengaitkan seorang menteri baru-baru ini.

Beliau menyatakan bahawa pendaftaran nombor telefon sahaja yang diamalkan kini nampaknya tidak memadai.

Ini kerana menurut beliau, pihak lain boleh mendaftarkan nombor mereka dengan menggunakan identiti individu lain. Jadi, pihak SKMM sedang menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan bagi membolehkan mereka menjalankan kajian tentang penggunaan ID digital ini.

Maka, penggunaan digital ID diharapkan sebagai alat penyelesaian pada masa akan datang untuk memantau kegiatan atas talian dan membasmi akaun digita palsu. Beliau memaklumkan bahawa, gangguan dan fitnah daripada akaun palsu merupakan rungutan paling banyak yang diterima oleh SKMM dalam tempoh tiga tahun ini.

Berkaitan dengan isu hangat penyebaran video seks yang dikaitkan dengan menteri pula,  pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini telah menggiatkan usaha mereka dalam menjejaki dalang yang bertanggungjawab di atas penyebaran video tersebut.

Malah SKMM juga memaklumkan bahawa operasi menjejaki dalang isu ini menjadi keutamaan mereka sekarang ini.

Usaha memburu dalang tersebut sudah dimulakan sejak laporan polis dibuat pada Selasa lalu. SKMM sebagai sebahagian daripada jawatankuasa jenayah siber bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah bersama dalam membantu menyelesaikan isu ini.

Sebelum ini SKMM telah memberikan amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang memuat naik, menyebar atau berkongsi kandungan yang jelik dan lucah.

Sumber: Malaysiakini

Berkaitan