Satu sistem arus utama di Lautan Atlantik yang membantu mengawal iklim bumi berkemungkinan melemah lebih daripada jangkaan menjelang tahun 2100, dengan kesan yang berpotensi memusnahkan di seluruh dunia, menurut satu kajian baharu.
Dikenali sebagai Peredaran Melintang Meridional Atlantik (AMOC), sistem arus ini memainkan peranan penting dalam mengagihkan haba dengan membawa air panas dari kawasan tropika ke arah utara.
Keruntuhan AMOC boleh menyebabkan musim sejuk yang lebih teruk di Eropah Utara, kemarau di Asia Selatan dan rantau Sahel di Afrika, serta peningkatan paras laut di Amerika Utara, antara kesan lain.
Unjuran model iklim sebelum ini menganggarkan kadar perlahan purata sekitar 32 peratus menjelang akhir abad ini akibat perubahan iklim.
Namun, kajian terkini yang diterbitkan pada hari Rabu dalam jurnal Science Advances menganggarkan sistem ini boleh melemah sehingga 51 peratus menjelang tahun 2100 di bawah senario sederhana pelepasan gas rumah hijau, dengan margin ralat sekitar tambah atau tolak lapan mata peratusan.
“Kami memperoleh anggaran bahawa kelembapan AMOC pada masa depan adalah lebih serius daripada yang dijangkakan,” kata saintis iklim, Valentin Portmann, penulis utama kajian itu kepada AFP.
“Kita semakin menghampiri keadaan kritikal yang membimbangkan,” tambahnya.
Meramalkan masa depan AMOC masih menjadi perdebatan dalam kalangan komuniti saintifik.
“Terdapat semacam konsensus bahawa peredaran ini akan menjadi perlahan. Namun, tahap kelembapan itu masih menjadi perbahasan,” kata Florian Sevellec, pengarah penyelidikan di Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS) di Brest.
Memperhalusi ramalan
Dalam laporan tahun 2021, Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan AMOC “sangat berkemungkinan akan merosot” sepanjang abad ini.
Namun, panel pakar antarabangsa itu juga menyatakan keyakinan sederhana bahawa keruntuhan AMOC tidak akan berlaku sebelum tahun 2100.
Kajian terbaharu ini, yang dijalankan oleh penyelidik dari CNRS dan Universiti Bordeaux di barat daya Perancis, bertujuan untuk “memperhalusi anggaran kelembapan masa depan” serta “mengurangkan ketidakpastian,” kata Sevellec.
Walaupun hampir semua model iklim meramalkan AMOC akan melemah menjelang 2100, anggarannya sangat berbeza — daripada serendah tiga peratus hingga setinggi 72 peratus — bergantung kepada pelbagai senario pelepasan.
Portmann berkata kajian baharu ini cuba mengecilkan jurang ketidakpastian tersebut menggunakan “kekangan pemerhatian” — pendekatan statistik yang menggabungkan data sebenar dengan hasil model iklim.

‘Perbahasan belum berakhir’
Ahli oseanografi Stefan Rahmstorf dari Institut Penyelidikan Impak Iklim Potsdam berkata kajian itu menunjukkan model yang lebih pesimis “malangnya adalah lebih realistik kerana lebih selaras dengan data pemerhatian.”
Beliau, yang tidak terlibat dalam kajian tersebut, berkata ini bermakna AMOC mungkin menjadi sangat lemah menjelang 2100 sehingga “sangat berkemungkinan” menuju ke arah penutupan sepenuhnya.
Sementara itu, profesor oseanografi fizikal dari Universiti Gothenburg, Fabien Roquet, menyifatkan kajian itu menarik tetapi mengingatkan bahawa satu pasukan lain menggunakan kaedah serupa mencapai kesimpulan bertentangan tahun lalu.
“Apa yang pasti, iklim sedang memanas dengan cepat,” kata Roquet.
“Sama ada AMOC melemah atau tidak, perubahan berskala besar sudah pun berlaku… dan dijangka semakin ketara dalam dekad akan datang.”
“Perbahasan ini belum berakhir,” kata Sevellec. “Satu kajian sahaja tidak cukup untuk menamatkan perdebatan saintifik.”
– AFP.
{suggest}
