Siri GPU Nvidia RTX 3000 Akan Dipasarkan Bermula Harga RM2,399 Di Malaysia

Beberapa hari lepas Nvidia baru sahaja melancarkan siri kad grafik terbaharu mereka iaitu siri GeForce RTX 3000 dengan 3 buah model - RTX 3070, RTX 3080, dan RTX 3090.

Nvidia announces new RTX 3090, 3080, and 3070 graphics cards - GSMArena.com  news

Kewujudan kad grafik ini mendapat sambutan hangat disebabkan harga jualan yang sangat rendah berbanding model-model generasi sebelumnya.

Bukan sahaja harganya rendah, malah prestasi kad grafik terbaharu ini lebih berkuasa menjadikan pembeli kad grafik sebelumnya seperti RTX 2080 Ti mampu terduduk kecewa.

Untuk PC master race tegar di Malaysia, berita baik buat anda kerana harga penawaran kad grafik ini tidak jauh bezanya dengan tukaran mata wang asing.

Melihat kepada laman web rasmi Nvidia GeForce Malaysia, mereka telah memaparkan senarai harga permulaan setiap kad iaitu:

  • GeForce RTX 3070 - RM2,399

  • GeForce RTX 3080 - RM3,360

  • GeForce RTX 3090 - RM7,208




Namun begitu setiap model kad grafik ini boleh didapati pada berlainan tarikh. RTX 3080 merupakan kad yang paling awal boleh dimiliki dengan tarikh jualan mulai 17 September, RTX 3090 seterusnya dengan 24 September.

Manakala pembeli yang lebih berminat dengan RTX 3070 perlu menunggu sehingga bulan Oktober untuk beramah mesra dengan kad grafik mampu milik itu.

Untuk makluman, ini merupakan harga permulaan untuk edisi Founders dari Nvidia sendiri dan ia boleh menjadi lebih mahal bergantung kepada pengeluar lain seperti ASUS, MSI, Gigabyte, ZOTAC, dan lain-lain.

Dengan harga kad grafik yang sungguh menarik ini, adakah anda akan menyambarnya?

Sumber: Nvidia Malaysia