Arena sukan elektronik kini sudah kedengaran tidak asing lagi di negara kita apabila ia mudah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Pada 29 November hingga ke 2 Disember lalu, berjuta-juta peminat sukan tersebut menyaksikan kejohanan PUBG Mobile Club Open 2019 Fall Split Global Finals yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pada kejohanan tersebut, peminat arena e-sukan telah menyaksikan satu-satunya wakil dari Indonesia, iaitu Bigetron Red Aliens (RA) berjaya merangkul gelaran juara pasukan terbaik. Mereka telah mengumpul 5 kali kemenangan dan berjaya membawa pulang hadiah bernilai 180,000 USD.
“PUBG Mobile adalah sebuah platform di mana pemain dapat berseronok, mencabar diri mereka, berhubung dengan rakan-rakan, dan secara tidak langsung dapat bertemu dengan orang baru,” kata Vincent Wang selaku Pengurus Umum Penerbitan Global, Tencent Games.
Vincent turut menambah kenyataannya apabila mendedahkan taktik baru yang akan ditambah di dalam permainan tersebut untuk terus menjadikan ia sebagai sebuah permainan yang adil dan inklusif untuk semua pemain.
PUBG Mobile Club Open 2019 menyimpulkan menerima lebih 532 juta jumlah tontonan semasa ia bersiaran secara langsung. Dalam pada masa yang sama, kejayaan e-sukan ini dapat dilihat apabila permainan PUBG MOBILE mendedahkan kejayaannya menerima 600 juta kali muat turun di seluruh dunia, dan jumlah ini tidak termasuk dengan negara China.
Buat tahun kedua berturut-turut, PUBG Mobile telah memperoleh “Top Games of 2019” di platform AppStore. Manakala, di Google Play pula, ia dipilih sebagai “Users Choice” dan “Best Competitive”.