Seorang Individu Ditahan Kerana Menyebarkan Berita Palsu Wabak Coronavirus

Jangan galak menyebar berita palsu hanya semata-mata mahu menjadi yang pertama atau berlagak pandai.


Menerusi kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) pada 28 Januari 2020 lalu.
Suspek yang berumur 34 tahun itu telah ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor pada jam 4:00 petang Selasa bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di laman Facebook pada 26 Januari 2020.


Ini kerana kandungan berkaitan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) itu didapati palsu. Selain ditahan, turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut di laman Facebook tersebut.

Jika didapati bersalah, suspek boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.



Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Ia merupakan tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa bagi mengawal penyebaran berita tidak benar mengenai wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab sehingga mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam.

SKMM dengan PDRM telah pun memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan Novel Coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia.

SKMM dalam kenyataan medianya berkata, mereka dan PDRM mengambil serius akan perbuatan ini dan sedang giat mengesan 3 lagi suspek untuk membantu siasatan.

Oleh itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak menyebar dengan berkongsikan berita palsu di laman-laman sosial.

Dapatkan dulu sesuatu fakta terhadap berita yang tular menerusi laman Sebenarnya.my atau dari aplikasi Sebenarnya.my (Google Play Store atau Apple App Store) sebelum berkongsikan sesuatu berita kerana penyebaran berita palsu boleh memudaratkan masyarakat dan negara.