Semua Pengguna Kini Boleh Pindah WhatsApp Dari Android Ke iOS, Ini Caranya

Rasmi, WhatsApp kini sudah membenarkan pengguna memindahkan keseluruhan data sembang daripada Android ke iOS dan sebaliknya.

Selepas bertahun-tahun permintaan, ujian beta dan keserasian model telefon pintar yang terhad, ciri ini kini dilancarkan kepada semua pengguna.

Kali terakhir kami melaporkan berkenaan hal ini, WhatsApp telah menyepadukan ciri ini melalui aplikasi Move to iOS, tetapi dalam versi beta.

Sebulan selepas WhatsApp melancarkan ciri ini, ia kini menjadikannya tersedia kepada semua pengguna sebagai versi yang stabil.

Anda dibolehkan untuk memindahkan segala jenis data WhatsApp dari Android ke iOS termasuk mesej suara, gambar, dan video.

Untuk melakukan proses ini, anda perlu pastikan:

  • Peranti Android dikemaskini dengan sekurang-kurangnya Android OS Lollipop, SDK 21, atau Android 5 ke atas

  • iPhone dikemaskini dengan iOS 15.5 ke atas

  • Aplikasi 'Move to iOS' dimuat turun pada peranti Android

  • Peranti baharu iOS mempunyai WhatsApp versi 2.22.10.70 ke atas

  • Peranti lama Android mempunyai WhatsApp versi 2.22.7.74 ke atas

  • Peranti lama dan baharu menggunakan nombor telefon yang sama

  • iPhone mestilah yang baharu atau reset kepada tetapan asal untuk dihubungkan dengan aplikasi 'Move to iOS' dan pindahkan data daripada Android

  • Kedua-dua peranti disambungkan pada sumber kuasa

  • Kedua-dua peranti perlu disambungkan ke rangkaian Wi-Fi yang sama atau perlu menyambungkan peranti Android ke hotspot iPhone


Cara pindahkan data WhatsApp dari Android ke iOS



  1. Buka aplikasi 'Move to iOS' pada peranti Android.

  2. Kod akan dipaparkan pada iPhone. Kemudian, masukkan kod pada peranti Android anda.

  3. Klik 'Continue' dan ikuti arahan pada skrin.

  4. Pilih 'WhatsApp' pada skrin 'Transfer Data'.

  5. Klik 'START' pada peranti Android dan tunggu WhatsApp persiapkan data untuk dieksport. Anda akan dilog keluar daripada peranti Android setelah data siap untuk dipindah.

  6. Klik 'NEXT' untuk kembali ke aplikasi 'Move to iOS'.

  7. Klik 'CONTINUE' untuk mula memindahkan data daripada Android ke iOS dan tunggu aplikasi untuk mengesahkan pemindahan sudah selesai.

  8. Muat turun WhatsApp versi terkini daripada App Store.

  9. Buka WhatsApp dan log masuk menggunakan nombor telefon yang sama yang digunakan pada peranti lama.

  10. Klik 'Start' dan benarkan proses bermula.

  11. Selesaikan pengaktifan peranti baharu dan anda akan lihat data WhatsApp dari Android tersedia pada peranti iOS anda.


Selamat mencuba!

Sumber: WhatsApp