Selepas 50 Ribu Tahun, Komet ZTF Kembali Menghampiri Bumi

Agensi Angkasa Malaysia memaklumkan bahawa, komet yang dinamakan sebagai Komet C/2022 E3 (ZTF) kini kembali menghampiri Bumi selepas kira-kira 50,000 tahun ia berbuat demikian.

Menurut NASA Jet Propulsion Laboratory (JPL), komet ZTF mempunyai tempoh orbit kira-kira 50,000 tahun. Ini bermakna kali terakhir komet itu menghampiri Bumi adalah pada zaman Paleolitik dahulu.

Komet C/2022 E3 (ZTF) telah ditemui oleh ahli astronomi pada 2 Mac 2022 lalu dengan menggunakan Sistem teleskop robotik Samuel Oschin di Fasiliti Zwicky Transient (ZTF), Balai Cerap Palomar, selatan California.



MYSA menyatakan, masyarakat Malaysia berpeluang mencerap komet C/2022 E3 (ZTF) mulai Januari hingga pertengahan April 2023 dengan menggunakan teleskop atau binokular.

Komet C/2022 E3 (ZTF) akan kelihatan di langit timur laut di Malaysia mulai Januari 2023 sebelum subuh dan kenampakannya pada hujung Januari hingga Mac 2023 adalah selepas Matahari terbenam dari arah langit utara dan kenampakannya semakin menghala ke arah langit barat sehingga pertengahan April 2023.

{suggest}

Sumber: MYSA