Selepas 20 Tahun Misi Mencari Makhluk Asing, Akhirnya Operasi SETI@Home Dihentikan

Pada tahun 1995, seorang saintis komputer David Gedye mendapat satu idea 'gila'. Apa kata jikalau sejumlah komputer milik peribadi disambungkan bersama-sama untuk membentuk satu superkomputer maya yang boleh digunakan untuk mencari makhluk asing. Rangkaian komputer tersebut akan membolehkan jumlah data yang sangat besar dikumpul oleh teleskop radio, yang mencari signal kehidupan makhluk asing di luar sana.

Terma sistem superkomputer teragih (distributed supercomputer) pada masa itu agak janggal, namun dalam masa 4 tahun, mereka berjaya membina sistem pencarian makhluk asing tersebut.

Ia dinamakan SETI@Home. Search for Extraterrestrial Inteligence (SETI)

Namun, selepas 20 tahun beroperasi, mempelawa orang awam dalam turut sama-sama membantu mencari makhluk asing, akhirnya ia berhenti beroperasi dari aspek pengguna awam. Ia adalah untuk menganalisis semula data bersaiz 2 dekad untuk melihat apa yang mereka bakal jumpa di dalamnya.

"Kami pun masih belum pasti menjumpai apa-apa setakat ini kerana analisis kami adalah berdasarkan sampel kecil sahaja bukannya keseluruhan langit angkasa,". Eric Korpela, pengarah SETI@Home.

"Masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mengurus kesemua data-data yang dikumpul. Kami perlu fokus untuk menyiapkan analisis hasil kajian dan juga menulis kertas jurnal saintifik."

Walaupun SETI@Home belum lagi masih menjumpai bukti kewujudan makhluk asing, projek ini masih menjadi legasi penting terutamanya sebagai usaha kerjasama dalam pencarian makhluk asing. Tambahan lagi, projek ini menjadi satu contoh paling berjaya dalam mewujudkan persekitaran satu sistem komputeran teragih.

Sejak pelancaran projek itu kepada orang awam pada Mei 1999, hampir 5 juta orang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung. Buat masa ini belum lagi diumumkan bila projek ini akan kembali beroperasi semula. Walaupun SETI@Home tidak lagi beroperasi, misi mencari makhluk asing akan kekal diteruskan oleh saintis-saintis mereka.

Sumber: SETI@Home