Selamat Menyambut Hari Telekomunikasi Dan Masyarakat Berinformasi Sedunia

WTISD disambut pada setiap 17 Mei setiap tahun sejak 1969.


Sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (World Telecommunications and Information Society Day) atau WTISD yang disambut 17 Mei pada tahun ini, kerajaan akan memberi fokus kepada kemajuan dan kemunculan trend baharu ICT sebagai pemangkin pembangunan pintar dan mampan selain memelihara ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Sempena sambutan WTISD yang bertemakan Connect 2030: ICT for Sustainable Development Goals pada tahun ini, Kerajaan akan memberikan komitmen untuk memastikan kesalinghubungan dalam negara yang  turut dizahirkan melalui laporan prestasi industri Komunikasi dan Multimedia (C&M) yang dikeluarkan saban tahun.

Sepanjang tahun 2019, industri C&M di Malaysia mencatatkan prestasi yang baik dengan nilai permodalan pasaran keseluruhan mencecah RM144.01 bilion, melibatkan sumbangan sektor perkhidmatan telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier.


SKMM menerusi kenyataan media yang dikeluarkan menyatakan bahawa mereka amat komited untuk memastikan masyarakat di negara ini terus terhubung dan berupaya untuk memperoleh faedah daripada kesalinghubungan yang berkualiti tinggi dengan menaik taraf rangkaian mudah alih dan gentian optik bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti rangkaian sekaligus membolehkan sektor telekomunikasi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang telah pun bermula sejak tahun 2019 akan memastikan rakyat dapat menikmati pengalaman jalur lebar yang bukan sahaja berkualiti malahan dapat merapatkan jurang digital antara penduduk di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta kawasan-kawasan bandar dan luar bandar.

“Tujuan utama sambutan WTISD adalah untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai manfaat Internet serta teknologi-teknologi komunikasi yang lain, dalam memperkasakan masyarakat, memperkukuhkan ekonomi dan merapatkan jurang digital. Justeru, sebagai badan kawal selia industri C&M – menerusi inisiatif-inisiatif seperti NFCP dan 5G, MCMC komited untuk memastikan masyarakat di negara ini terus terhubung dan berupaya untuk memperoleh faedah daripada kesalinghubungan yang berkualiti tinggi.” Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak.