Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dipercayai mengarahkan Anthropic untuk menghentikan akses Fable 5 beberapa hari lepas kepada awam kerana khuatir ia telah diakses oleh sesetengah pihak yang dikaitkan dengan kerajaan China, menurut laporan.

Jika anda ketinggalan, Fable 5 ialah model daripada kelas Mythos namun versi yang dikawal ketat dan selamat untuk semua. Bukan hanya di sebalik tabir, namun di untuk sisi pengguna juga, soalan berkaitan keselamatan siber, kimia, biologi dan beberapa topik tertentu juga tidak akan dijawab oleh Fable 5. Anthropic sebaliknya akan menggunakan model yang lebih rendah iaitu Opus 4.8.
Apa yang berlaku?
Arahan untuk menyekat Fable 5 bermula apabila CEO Amazon, Andy Jassy, melaporkan kepada kerajaan AS bahawa penyelidik dari Amazon berjaya melakukan “jailbreak” terhadap Fable 5, iaitu satu cara untuk memintas lapisan keselamatan model kecerdasan buatan atau AI bagi mendapatkan maklumat berbahaya yang sepatutnya terhad.

Laporan Fortune dan Semafor juga mendakwa timbul syak wasangka bahawa ada pihak yang dikaitkan dengan China mungkin sudah mengakses Mythos, model asas di sebalik Fable 5 dan bercadang melakukan “distillation”, di mana keupayaan model AI boleh ditiru menggunakan data yang dikumpul daripada output model tersebut.
Imbas kembali, pada Februari 2026, Anthropic sendiri mendedahkan bahawa tiga syarikat AI China iaitu DeepSeek, Moonshot AI dan MiniMax telah menjalankan distillation besar-besaran terhadap Claude dengan melibatkan penciptaanĀ kira-kira 24,000 akaun palsu. Mereka menggunakan perkhidmatan proksi komersial untuk memintas sekatan akses Anthropic di China.

Kerajaan AS kemudian mengeluarkan arahan untuk Anthropic menyekat akses kepada kedua-dua model bagi semua warganegara asing. Namun Anthropic mengambil keputusan untuk menyekat kedua-dua model untuk semua pengguna di seluruh dunia, tidak kira sama ada warganegara AS atau luar.
Reaksi Anthropic dan Hubungan dengan Kerajaan AS
Anthropic pada awalnya telah dimaklumkan tentang isu ini namun tidak bersetuju untuk mengambil tindakan. Bagi mereka, jailbreak yang ditemui adalah terpencil dan Fable 5 ini pun sudah pun menjalani ribuan jam ujian dengan pihak berwajib sebelum dilepaskan kepada awam.

Walaupun begitu, jurucakap Anthropic mengatakan arahan yang datang daripada pentadbiran Trump untuk menghentikan akses terhadap Fable 5 tidak menyebut tentang ancaman China.
Terdahulu, Anthropic telah menolak permintaan kerajaan untuk membenarkan teknologi mereka digunakan untuk pengawasan domestik dan senjata autonomi. Akibatnya, Pentagon memutuskan kontrak dengan syarikat tersebut.

Rentetan itu menyebabkan kerajaan AS melabelkan Anthropic sebagai “risiko rantaian bekalan” untuk kontraktor Pentagon, satu dakwaan yang sedang dicabar oleh Anthropic di mahkamah.
{suggest}
Namun, penasihat White House, David Sacks menegaskan bahawa tindakan terbaru terhadap Fable 5 tidak berkaitan dengan isu tersebut.
Sampai bila?
Buat masa sekarang, Anthropic mengatakan ini semua cuma salah faham. Menurut laporan terbaru, wakil Anthropic telah bertemu dengan pentadbiran Trump berkenaan hal ini.
Menurut sumber yang rapat dengan rundingan itu, kedua-dua pihak belum lagi membincangkan untuk mengangkat sekatan tersebut. Jurucakap Anthropic bagaimanapun menyatakan kedua-dua pihak sedang berusaha dengan pantas untuk menyelesaikan perkara ini.
