Samsung Jelaskan Insiden & Punca Letupan Galaxy Note 7

Seoul - Syarikat pembuat telefon terbesar dunia, Samsung pada Isnin mengesahkan bahawa bateri menjadi punca kebakaran telefon pintar Note 7 yang menyaksikan syarikat itu terpaksa memangil semula kesemua peranti berkenaan.

Siasatan dalaman dan bebas menyimpulkan bahawa 'bateri didapati menjadi punca insiden Note 7', jelas syarikat Korea Selatan itu dalam satu kenyataan.

Insiden berkenaan menyebabkan syarikat gergasi itu berhenti dari mengeluarkan telefon tersebut - yang pada awalnya dicipta untuk bersaing dengan iPhone keluaran Apple.

Kejadian itu juga menyebabkan syarikat terbabit kerugian berbillion dan menyebabkan kerosakan kepada reputasi.

"Kami secara ikhlas meminta maaf atas ketidakselesaan serta kembimbangan yang terjadi kepada pelanggan kami," kata Koh Dong-Jin, ketua bisnes mudah alih Samsung.

Samsung juga membuat pengakuan bahawa pihaknya yang menyediakan spesifikasi bateri itu, dengan menambah: "Kami mengambil tanggungjawab keatas kegagalan kami dengan mengenalpasti dan mengesahkan isu itu lahir dari rekabentuk bateri dan pembuatan.

"Kami telah mengambil beberapa langkah pembetulan untuk memastikan ia tidak berlaku lagi."

Samsung mengerahkan 700 pengkaji dan jurutera untuk siasatan itu bagi menguji lebih 200,000 peranti tersebut dan lebih dari 30,000 bateri, katanya.

Menurut pengujian, insiden itu secara tepatnya disebabkan oleh sel bateri. Menurut Koh, "punca utama insiden ini adalah pemesongan dalam eletrod negatif" pada kelompok(batch) pertama, manakala tembaga ditemui pada kelompok kedua, disebabkan litar pintas yang berlaku ketika proses kimpalan.

Samsung telah memanggil semula 2.5 juta unit Galaxy Note 7 pada September 2016 selepas beberapa laporan peranti itu meletup atau terbakar, dengan menyalahkan bateri dari salah satu pembekalnya.

Bagaimanapun, apabila telefon ganti  yang dilengkapkan dengan bateri dari syarikat lain juga mula terbakar, Samsung akhirnya mengambil keputusan untuk menutup buku bagi Note 7.

Samsung juga berjanji untuk mengkaji semula pengeluaran dan kualiti kawalan bagi mengelakkan krisis yang sama.

Saham Samsung naik 0.5 peratus pada 1.87 juta won di Seoul pada Isnin selepas pengumuman tersebut.

Sumber: The Star

 

Berkaitan