Samsung Galaxy S8 Bakal Menampilkan Panel RGB Super AMOLED Tanpa Butang Home

Masih lagi dengan ura-ura tentang Samsung S8. Penampilan Samsung S8 sudah tentu menjadi sebutan hangat kerana sudah tentu kita mahu melihat bagaimana Samsung mahu meyakinkan semula pengguna telefon pintar selepas kejadian Note 7 yang berlaku pada suku ketiga tahun ini.

Seperti biasa, terdapat banyak khabar angin tentang peranti baru dari Samsung ini. Antara yang pasti S8 akan dibina dengan Snapdragon 820 bersama cip Exynos, kedua-duanya dibina dengan proses 10nm. Mengikut laporan, S8 bakal mengekalkan resolusi QHD namun ianya menggunakan panel RGB Super AMOLED, bukan rekaan Diamond PenTile. Jika laporan yang dikatakan ini benar, maknanya S8 bakal menampilkan 50% lebih subpixel, yang mana akan meningkatkan lagi ketajaman dan kualiti paparan. Panel yang dihasilkan akan menjadikan S8 lebih tahan lasak.

Yang pastinya, peranti VR yang akan mendapat kelebihan dengan rekaan ini. Gambar akan tampak lebih realistik dengan Gear VR berbanding S7 dan S7 Edge. Terdapat juga laporan mengatakan S8 akan hadir dengan dua variasi skrin iaitu 5.7 inci dan 6.2 inci namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran tentang laporan ini.

Antara khabar angin yang lain, S8 juga tidak akan menampilkan rekaan butang home ikonik mereka. Samsung dikhabarkan memilih rekaan panel sensor cap jari dengan menggunakan teknologi biometric dari Qualcomm. Ada juga berita mengatakan S8 bakal membuang headphone jack sama seperti yang diketengahkan oleh iPhone 7.

Jika laporan yang Wiser.my perolehi ini tepat, kami jangkakan Galaxy S8 akan menembusi pasaran secara rasmi pada bulan Februari tahun depan.