Pertama kali memegang Samsung Galaxy Flip3, buat saya terkenang kembali zaman universiti sekitar 13 tahun lepas. Saat segelintir daripada kita banyak menghabiskan duit mak bapa untuk membeli telefon mudah alih baru.
Sebagai salah seorang daripada golongan ini, saya tak lari dari nafsu untuk memiliki sebuah telefon baru. Mahu nampak bergaya tanpa memikirkan hujung bulan ada peperiksaan besar yang perlu dilalui.
Jadi antara model yang menjadi pilihan ketika itu adalah telefon jenis flip. Baru ada gaya. Tapi itu dulu, tahun berganti tahun kita dah terbiasa dengan rekaan telefon pintar yang biasa, skrin rata. Angkat dan terus guna.
Pada mulanya rasa teruja kerana dapat meneliti dengan lebih dekat teknologi skrin lipat ini. Tetapi dalam masa yang sama agak skeptikal untuk menggunakannya setelah sekian lama memiliki telefon dengan skrin rata. Timbul persoalan, kenapa perlu gerakan yang lebih sebelum boleh lihat kandungan dalam skrin? Angkat telefon, kena buka lipatan dulu lipatan dan baru boleh guna.
Perlakuan ini sudah lama kita tinggalkan, lagi-lagi di tahun 2021 ini semua perkara nak cepat. Perlakuan untuk buka lipatan baru boleh gunakan telefon adalah lambat, sekurang-kurangnya bagi orang macam saya.
Tapi perasaan ini boleh saya sifatkan sebagai sementara dimana sepanjang tempoh penggunaan, saya rasa seronok untuk menggodeh teknologi skrin lipat ini.
Sebelum anda ikuti lebih lanjut reaksi awal kami mengenai Samsung mari kita lihat dahulu organ dalaman peranti ini.
- Skrin Utama – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X (2640 x 1080), 120Hz
- Skrin Kedua – 1.9″ Super AMOLED (260 x 512)
- Pemproses – Qualcomm Snapdragon 888
- Kamera belakang – 12MP Lebar dan 12MP Ultra Lebar
- Kamera hadapan – 10MP
- Bateri – 3,300mAh
- RAM – 8GB
- Storan – 128GB/256GB
Berada dalam keadaan terlipat, anda akan lihat sebuah skrin yang berada bersebelahan dwi kamera belakang. Selain notifikasi, skrin paparan kedua ini boleh anda gunakan untuk mengakses beberapa fungsi melalui widget tetapi agak terhad. Seperti contoh membalas emel, anda perlu buka penuh baru boleh balas.
Skrin kedua ini juga berfungsi sebagai viewfinder untuk kamera belakang sewaktu rakaman selfie. Bagi rakaman selfie yang lebih cantik hasilnya, saya syorkan anda untuk gunakan kamera belakang. Namun disebabkan saiz ukurannya yang kecil, agak susah sedikit untuk melakukan komposisi rakaman yang baik.
Bahagian kanan disusun dengan butang kuasa yang juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari serta butang pelaras kelantangan bunyi. Telefon ini panjang ya tuan-tuan (nisbah 22:9), dan apabila dibuka kedua-dua butang ini berada pada kedudukan yang agak leceh untuk ditekan. Jari mengais-ngais untuk mencapai butang-butang ini.
Menarik untuk butang pelaras kelantangan, fungsinya akan diterbalikkan apabila peranti dilipat. Ini memudahkan kita mengakses pemain muzik dari skrin kedua. Sebab memori kita sudah terbiasa, butang atas untuk kuatkan muzik, butang bawah untuk perlahankan.
Sisi mengelilingi peranti direka bentuk rata menjadikan si pemakai lebih sedap menggengam peranti yang panjang ini. Kalau dulu anda goncang sahaja telefon flip, dari berlipat ia akan terbuka. Tapi untuk model zaman moden ini, jangan haraplah ia akan terbuka sendiri. Anda perlukan dua tangan untuk membukanya.
Walaupun begitu, engsel untuk Galaxy Flip3 adalah lebih baik berbanding model pertama dahulu dimana ia lebih nipis dan ruang ketika dilipat lebih kecil.
Engsel yang diperbuat dari Armor Aluminium ini dirasakan lancar untuk dibuka tutup. Apabila dibuka, anda seperti menggunakan telefon pintar biasa, seakan terlupa ia sebenarnya telefon flip.
Skrin Dynamic AMOLED ini menyokong kadar segar semula 120Hz, tatalan dibuat dengan licin. Penggunaan dalam dan luar bangunan juga terang jelas tanpa sebarang gangguan. Mudah kata, skrin ini menghasilkan warna yang cantik, tajam serta cukup perincian dan setanding dengan model-model andalan yang dijual pada paras harganya.
Ada yang mempersoalkan crease lineĀ atau garisan lipatan. Memang ia kelihatan pada mata kasar, tetapi kalau dicari. Untuk beberapa ketika, saya sudah tidak menghiraukan garisan itu dan ia hanya kelihatan pada kandungan yang terang sahaja seperti latarbelakang putih. Kalau diteliti, nampak. Kalau tak dihiraukan, kita pun tak perasan.
Sewaktu menatal skrin anda mungkin akan terasa lengkungan garis lipatan itu, tetapi selalunya jari hanya akan berada pada bahagian bawah sahaja.
Nisbah 22:9, rasa macam payah untuk penggunaan sebelah tangan bukan disebabkan ia panjang? Namun, OneUI menyediakan mod sebelah tangan yang sangat membantu. Anda cuma perlu leretkan sahaja dibahagian tengah bawah dan paparan akan mengecil sedikit. Memudahkan menu-menu yang berada diatas skrin dicapai.
Dari segi prestasi, saya belum betul-betul melenjan peranti ini lebih agresif. Kita cuma boleh bayangkan kemampuan lebih kurang sama dengan peranti lain yang dikuasakan oleh Snapdragon 888…. tetapi dalam reka bentuk boleh dilipat. Begitu juga dengan bahagian kamera, ada terdapat rungutan Samsung sekadar kitar semula spesifikasi lama Flip terdahulu.
Tetapi untuk awal ini, apa yang saya boleh katakan hasilnya sudah memadai untuk dikongsi terus ke media sosial. Cuma kamera selfie 10MP mungkin sedikit sukar untuk merakam gambar yang lebih cantik.
Untuk lebih perkongsian, saya akan cuba terbitkan artikel ulasan sedikit masa lagi. Tetapi untuk tempoh penggunaan pendek ini apa yang boleh saya sampaikan adalah Samsung Galaxy Flip3 ada sebuah telefon lipat ‘mampu milik’ yang seronok untuk digunakan. Kenapa mampu milik? kerana lihat sahaja telefon pintar lipat yang lain, harga mencecah tujuh petala langit. Tetapi dengan Galaxy Flip 3 anda boleh merasai teknologi skrin lipat pada RM3999.
Adakah berbaloi untuk melaburkan nilai ini bagi sebuah telefon pintar yang boleh dilipat-lipat ini? Nantikan ulasan penuh dari kami.