Mungkin bukan semua, tapi pastinya topik hangat perbualan kita sehari dua ini berkisar tentang pelancaran siri iPhone 13 kelmarin. Masing-masing ada pendapat tersendiri tentang keluaran baru ini, dan nampaknya Samsung pun mahu mencelah.
Walaupun tidak dituju terus, tapi ciapan yang dibuat oleh @SamsungMobileUS rasanya tepat melekat kepada Apple.
We’ve been refreshing at 120Hz for a while now…
— Samsung Mobile US (@SamsungMobileUS) September 14, 2021
Ya, kita sedang bercerita tentang salah satu fungsi baharu pada model iPhone 13 Pro dan Pro Max yang datang dengan ProMotion 120Hz. Kadar segar semula 120Hz bukanlah perkara baru di telinga peminat telefon pintar dimana beberapa jenama sudah menawarkannya, seperti contoh Razer Phone sejak 2017.
Berbalik kepada Samsung pula, peranti pertama yang mempunyai ciri kadar semula setinggi ini bermula pada Galaxy S20 yang dilancarkan sekitar Mac tahun lalu. Ia kemudiannya dituruti dengan model-model premium yang lain seperti siri Galaxy S21, Galaxy Z Fold 3 dan Flip 3.
“Imagine still having a notch in 2021.” – #GalaxyZFold3 5G
— Samsung Mobile US (@SamsungMobileUS) September 14, 2021
Tak cukup dengan itu, Samsung turut menambah ‘rencah’ dengan menyatakan ‘Imagine still having a notch in 2021.” diiringi tanda pagar #GalaxyZFold3 5G. Walaupun bukan pertama, tetapi kita tidak boleh sangkal Apple yang mempopularkan rekaan tersebut beberapa tahun sudah dan masih mengekalkannya sehingga ke hari ini.
Walaupun disebut-sebut sudah kecil saiznya, namun Samsung lebih berbangga dengan kamera bawah paparan pada Galaxy Z Fold 3 mereka.
Acara bahan membahan antara dua jenama ini bukan perkara baru lagi dimana anda mungkin pernah melihat ini, ini, atau ini.